Sophia Albarakbah tak gila publisiti, tunjuk bukti terima mesej tak senonoh dan hinaan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemenang Anugerah Selebriti Feminin Terhangat, Sophia Albarakbah menegaskan bahawa keputusan yang diambil untuk membuat laporan polis baru-baru ini bukanlah bertujuan bagi meraih publisiti.

Tindakan itu juga tidak bermotifkan dendam atau sekadar mahu menegakkan benang basah, sebaliknya dilakukan pelakon terbabit demi menjaga keselamatan dan maruah dirinya sebagai seorang wanita.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Sophia mengakui telah menerima ribuan mesej dan komen yang mengandungi unsur fitnahan, hinaan, ugutan serta berbaur lucah.

Pemilik nama sebenar Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman itu juga menyifatkan perbuatan buli siber dan gangguan seksual sebagai perkara serius serta memberi kesan mendalam kepada kesihatan mentalnya.

“Saya tahu ada yang bertanya, kenapa buat laporan polis? Bitter? Gila publisiti? Atau tegakkan benang basah? Tidak! Sebab buli siber dan gangguan seksual bukanlah perkara main-main. Ini bukan gurauan atau ‘sekadar komen’,

“Mungkin ada yang menganggap ia perkara kecil. Tetapi bagi saya, kata-kata itu benar-benar melukakan. Komen ini merosakkan emosi dan menjatuhkan maruah saya sebagai wanita dan manusia.

“Kepada semua orang yang pernah melalui perkara sama, anda tidak keseorangan. Buat yang masih menyebarkan kebencian, ingatlah bahawa kata-kata anda boleh meninggalkan parut yang tidak akan sembuh,” katanya.

Dalam perkongsian yang sama, pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu juga berkongsi bukti berupa tangkap layar memaparkan komen berbaur lucah dan hinaan diterimanya di platform media sosial.

Pelakon berusia 32 tahun itu juga memaklumkan laporan polis yang dibuat itu memberi mesej jelas bahawa wanita berhak mendapatkan perlindungan terutama di bawah undang-undang,

“Saya kongsi beberapa tangkap layar mesej dan komen yang diterima. Ini hanya sebahagian kecil, yang lain jauh lebih teruk. Saya bukan mahu memalukan sesiapa, tetapi mahu menunjukkan realiti yang berlaku di alam maya.

“Ini bukan soal membalas dendam. Ini soal perlindungan, keselamatan dan maruah. Diam tidak akan mengubah apa-apa.” Jelas Sophia berhubung tindakannya membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Terdahulu, kecaman terhadap Sophia kembali memuncak selepas insiden di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) pada Ahad lalu menyaksikan pelakon, Bella Astillah menyampaikan trofi untuk kategori dimenangi Sophia.

Sophia kemudian meluahkan rasa kesal apabila isu yang mengaitkannya sebagai orang ketiga dalam perkahwinan Bella dan bekas suaminya, Aliff Aziz kembali diperkatakan sehingga memicu semula kecaman netizen terhadapnya.

Baca juga: Shila Amzah tidak akan beri kenyataan peribadi, serah kes kepada peguam