Wanita dedah taktik ‘scam’ guna isu Zara Qairina, telefon digodam lepas tekan pautan pancing

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang wanita menekan pautan yang konon membawa kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina malah mengundang padah apabila telefon bimbitnya digodam.

Rupa-rupanya, pautan tersebut adalah palsu atau sekadar taktik penipuan di atas talian digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bertujuan untuk memancing data pengguna telefon bimbit berkenaan.

Menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform media sosial Threads, wanita terbabit mengakui insiden bermula ketika dirinya menonton beberapa kandungan mengenai kes kematian Zara yang kini mendapat perhatian meluas.

Namun salah satu daripada kandungan di platform TikTok tersebut mendakwa terdapat rakaman CCTV berhubung kejadian menyayat hati itu dengan menyertakan pautan yang kemudian ditekan oleh mangsa.

“Ketika itu, saya sedang menonton kandungan mengenai kes adik Zara. Kononnya ada video CCTV tentang kejadian itu. Entah macam mana, saya tertekan satu pautan pada salah satu akaun TikTok ini.

“Rupa-rupanya akaun itu milik ‘scammer’ (penipu). Saya cepat-cepat keluar daripada laman web yang dipautkan tersebut. Tetapi telefon bimbit pula habis bateri. Jadi saya biarkan sahaja dan sambung borak dengan ibu mentua.

“Kemudian baliklah ke rumah dan sampai dalam pukul 11 malam macam itu. Saya terus cas telefon. Tetapi apabila buka telefon, saya rasa pelik. Sebab paparan telefon itu macam peranti yang baru beli,” katanya.

Malang tidak berbau, telefon bimbit wanita terbabit sudah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan semua maklumat di dalam peranti tersebut hilang begitu sahaja akibat ‘diformat’ atau dalam tetapan semula kilang.

Difahamkan, wanita itu masih berusaha mengawal situasi dengan mengakses akaun e-mail miliknya menggunakan telefon bimbit lain namun sayangnya peranti berkenaan turut digodam dan menerima nasib yang sama.

Baca juga: Lelaki warga asing didenda RM12,000 simpan 350 liter minyak masak bersubsidi tanpa permit