Ingatkan cari ular, netizen terkejut pemilik rumah ‘tanam’ pili air bomba

Oleh MAISARAH AISYA

Pili air bomba, atau hydrant bomba, biasanya dipasang di pelbagai lokasi strategik bagi memudahkan pasukan bomba mendapatkan sumber air sekiranya berlaku kebakaran.

Jadi, tidak hairanlah jika ada yang terletak betul-betul di hadapan rumah. Namun, ada pula pemilik yang sanggup menutupnya.

Baru-baru ini, tular di TikTok sebuah video milik @iememknot memaparkan dua anggota bomba sedang mengangkat tanaman yang ditanam dalam dua tayar terpakai.

Pada awalnya, ramai menyangka mereka menangani kes seperti kehadiran ular di kawasan tersebut.

Namun, sebaik sahaja tanaman itu dialihkan, apa yang terserlah benar-benar mengejutkan, rupa-rupanya tersembunyi di balik tanah dan pokok itu adalah sebuah pili air bomba yang tertanam sepenuhnya.

“Sikap dan perbuatan manusia di dunia serba canggih ini masih ada lagi yang tidak tahu betapa pentingnya pili bomba sehingga sanggup membuat demikian.

“Sekiranya berlaku perkara sebegini, laporkan kepada pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia,” ujar pemilik video.

@iememknot

Sikap Dan Perbuatan Manusia Di Dunia Serba Canggih ini Masih Ada Lagi Yang Tidak Tahu Bertanpa Pentingnya Pili Bomba Sanggup Menbuat Demikian..Sekiranya Ada Berlaku Sebegini Laporkan kepada Pihak Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

♬ original sound – Lolokjb Lolokjb – Lolokjb Lolokjb

Pada mulanya netizen menganggap ia hanya kes biasa seperti ada ular disebalik tanaman namun apabila mengetahui hal sebenar, mereka terkejut dengan sikap pemilik rumah.

“Ingatkan ada ular, rupanya ada pili bomba. Siapa pula yang terlampau rajin sangat tanam pili bomba tu

“Sebelum tanam pokok itu, tak terfikir ke itu pili bomba? Kalau jadi kebakaran di taman itu, macam mana, alahai.

“Depan rumah aku yang ada paip bomba pun aku tak berani nak tanam apa-apa. Tak boleh aku fikir macam mana orang lain berani buat macam itu,” antara komen netizen.

Seorang pengguna lain, Amin Syafiq menjelaskan apa yang dilakukan pemilik rumah ini sebenarnya adalah satu kesalahan.

Menghalang Pili Bomba adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 341 – 1988 dan boleh dikenakan kompaun.

“Minta orang ramai tidak menghalang pili bomba dengan menutup chamber supaya tidak mengganggu tugas-tugas pasukan Bomba sekiranya berlaku kebakaran,” komen Amin.

Baca juga: Wanita kongsi bagaimana dia habiskan harinya sebagai isteri jutawan, berbelanja lebih RM70k sehari