Seramai 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk Fasa 3 bermula esok dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM2 bilion.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah penerima Fasa 3 pada kali ini meningkat kepada 300,000 orang berbanding 8.3 juta untuk penerima Fasa 1 pada Januari lalu.
Difahamkan, peningkatan ini adalah hasil daripada langkah Kerajaan Madani membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun untuk memastikan bantuan sampai kepada semua penerima yang layak.
Inisiatif yang dijangka dapat meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah ini akan dibayar kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR, lapor Sinar Harian.
Pembayaran dibuat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengambil enteng amanah untuk meningkatkan maslahat rakyat agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa STR mampu memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan demi menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi Madani.
Sementara itu untuk nama pemohon yang tiada di dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Semakan status kelayakan boleh dibuat menerusi portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my namun Kementerian Kewangan memberi amaran supaya sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Baca juga: Wanita kongsi bagaimana dia habiskan harinya sebagai isteri jutawan, berbelanja lebih RM70k sehari