Polis Bukit Aman ambil alih kes Zara Qairina

Oleh ROSLAN ZAMAN

 Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes melibatkan Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir.

Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataannya berkata, sembilan pegawai dan anggota JSJ sudah dihantar ke Sabah.

“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian luar biasa daripada rakyat Malaysia yang mahu pihak berkuasa memainkan peranan penting susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.