Yonnyboii dedah pernah jadi mangsa buli, pelaku tak insaf malah lupa perbuatan sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Semakin ramai artis dan selebriti tampil menyuarakan isu buli sejak kebelakangan ini dengan harapan gejala negatif tersebut berhenti berleluasa dan dihapuskan terutamanya melibatkan pelajar sekolah.

Kehangatan isu ini juga mendorong penyanyi, Yonnyboii untuk turut bersuara dengan mendedahkan kejadian buli pernah dialaminya dahulu namun meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat dirinya sehingga ke hari ini.

Menurut Yonnyboii, kejadian itu berlaku ketika berada di bangku persekolahan dan berpendapat bahawa dirinya mungkin dijadikan sebagai sasaran oleh pembuli kerana kelihatan seperti seseorang yang ‘lemah’.

Namun Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin merasa kecewa apabila pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan berikutan kejadian buli seolah-olah dianggap seperti perkara biasa.

Perkara tersebut didedahkan pelakon berusia 27 tahun itu menerusi sesi temu bual bersama stesen radio tempatan iaitu Hot FM yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok.

“Saya senang jadi sasaran pembuli sebab nampak lemah. Pelaku nampak kita lembik dan tak mampu pertahankan diri sendiri. Pembuli memang suka jadikan orang seperti ini sebagai sasaran. Pengalaman itu tak menyeronokkan.

“Malah disebabkan kejadian buli, saya perlu berpindah-randah ke banyak sekolah. Hal yang lebih menyedihkan lagi adalah orang tidak akan mengambil tindakan. Sebab mereka menganggap kejadian itu sebagai perkara biasa.

“Saya dahulu pernah masuk asrama dan melalui kejadian yang sama di situ. Sebab seperti sudah dianggap sebagai tradisi di asrama. Mereka tutup mata. Warden juga tak anggap itu hal besar kerana melibatkan ‘budak-budak’,” kesalnya.

@hotfm976_

“Yang membuli akan lupa apa yang dia pernah buat, tapi yang dibuli akan ingat seumur hidup apa yang dia pernah tanggung, malah kesan mental yang sangat teruk..” Guys, sahut seruan ini, #HotFMBenciBULI . Hentikan jenayah ini. Laporkan jika ada gejala buli di sekitar anda. Dan awasi setiap apa yang berlaku kepasa anak-anak kita ❤️ #HotFM #BekpesHot #HotfmBenciBuli #YangHangatDanTerbaik #RadioNo1 #KJjadiDJ

♬ The melody that appears and disappears beyond regret(1173664) – naopapa

Walau bagaimanapun bagi mangsa, perkara sedemikian bukanlah ‘kecil’ buat mereka malah Yonnyboii juga mengakui cukup sukar untuk melupakan trauma akibat kejadian buli yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu.

Situasi berbeza untuk pembuli yang bukan sahaja boleh meneruskan kehidupan seperti biasa malah ada di antara mereka sudah melupakan kesalahan pernah dilakukan terhadap orang lain.

“Saya pernah jumpa balik orang yang membuli saya. Apa yang saya perasan, pembuli lupa apa yang mereka pernah lakukan. Saya tak minta mereka mohon maaf. Cuma saya sedih sebab macam tiada penyesalan dalam diri mereka.

“Sedangkan saya, sampai matilah akan ingat kejadian itu. Bukan sebab kita nak ungkit, tetapi ia sudah kekal dalam otak (ingatan).” Kongsi Yonnyboii di dalam rakaman yang berdurasi satu minit 46 saat itu.

Sehubungan dengan itu, Yonnyboii menggesa agar pihak bertanggungiawab mengambil tindakan tegas terhadap pembuli dan tidak memandang rendah isu tersebut kerana ia memberi kesan cukup mendalam buat mangsa.

Baca juga: Ramai ‘cancel order’ Rendang Nyet Berapi lepas tak menang pergi New Zealand? Ini respon Khairul Aming