Meskipun berbeza haluan politik, kerajaan negeri Kelantan dilihat menghargai bantuan diterima dari kerajaan pusat demi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Terima peruntukan pembangunan sebanyak RM4.15 bilion yang diluluskan kepada Kelantan, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan penghargaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Jelas Mohd Nassuruddin Daud, kos tersebut adalah untuk menampung 17 projek lapor Harian Metro.
Kesemua projek itu adalah untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat Kelantan khususnya dalam usaha mengurangi banjir dan juga pemuliharaan pantai.
“Antara lain juga adalah pelaksanaan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai benteng pertahanan rakyat, pelindung harta benda dan bukti kesungguhan kerajaan untuk menjamin keselamatan rakyat.
“Namun, ia perlu dilaksanakan dengan perancangan menyeluruh, kajian dan membabitkan penyertaan komuniti setempat bagi memastikan kesannya benar-benar positif dan mampan.
“RTB ini bukan sahaja mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama semua pihak, malah ia juga membuktikan keupayaan kita untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Jelasnya, kerajaan bersama agensi pengurusan bencana melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai langkah mitigasi banjir.
Antara usaha tersebut termasuk membina projek tebatan banjir, empangan dan sistem saliran yang lebih baik bagi melindungi penduduk serta kawasan pertanian.
“Dalam menghadapi kesan banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini, saya sudah memohon kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera memperbaiki segala infrastruktur yang rosak melalui pendekatan yang menyeluruh dan berperingkat.
“Usaha meningkatkan kecekapan pengurusan bencana, ia akan diperkasakan oleh pihak kerajaan melalui pelan struktur perparitan dan saliran di seluruh kawasan yang terlibat dengan banjir.
“Usaha ini perlu dilaksanakan melalui pembinaan longkang konkrit dan sistem saliran mesra alam yang lebih moden,” katanya.