Kebelakangan ini, semakin banyak kes melibatkan warga asing, terutamanya pelancong, yang menjadi perhatian masyarakat.
Ada yang dilaporkan secara rasmi, dan ada juga yang tular di media sosial, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Walaupun kehadiran pelancong membawa manfaat dari segi ekonomi dan promosi negara, tingkah laku segelintir mereka kadang-kadang menimbulkan rasa kurang senang.
Tular video seorang wanita warga China yang bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Wanita tersebut berjaya ditahan selepas kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.40 malam di Balai Berlepas KLIA Terminal 1 lapor Harian Metro.
Ketika kejadian, empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.
Salah seorang wanita dewasa dikatakan tidak berpuas hati apabila diminta untuk beri laluan kepada penumpang lain sementara semakan ke atas mereka semua dilakukan.
“Suspek kemudian mengeluarkan perkataan kesat kepada pegawai, sebelum menarik tudung pegawai terbabit dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.
“Pergelutan kecil berlaku dan suspek masih enggan bertenang walaupun diarahkan bertenang,” katanya dalam kenyataan.
AKPS berkata, susulan itu pegawai penguat kuasa AKPS segera memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan.
Kenyataan tersebut memaklumkan pegawai terbabit mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit di bahagian kanan kepala dan lenguh badan.
Pegawai tersebut juga sudah dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.
“Laporan polis sudah dibuat dan suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.
“Wanita warga China berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam),” katanya.
AKPS menegaskan tiada kompromi terhadap kekerasan, penghinaan atau ancaman kepada pegawai bertugas, serta mahu pihak terlibat dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Baca juga: Wanita tergamam dapat tahu dirinya anak angkat selepas 3 tahun berkahwin