Bantu rakan pelawak, Zizan hanya mahu ringankan beban, bukan nak riak

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak semua orang mampu membantu dengan menghulurkan wang, ada masanya sekadar memberi nasihat pun sudah cukup bermakna.

Sering terbaca perkongsian pelawak Amir Raja Lawak mengenai situasinya yang tak dibayar stesen televisyen, pelakon dan pengacara Zizan Razak tampil meringankan bebannya.

Walaupun hubungan mereka tidak begitu rapat, Zizan tetap memberikan sumbangan tersebut dengan penuh keikhlasan dan bukanlah untuk riak lapor HibGlam.

“Sebenarnya, Amir tak mencari saya pun tetapi saya yang hubungi tanya bagaimana keadaan dia, seperti yang kalian baca dalam perkongsiannya.

“Walaupun kami tidaklah rapat sangat tetapi sebab dia lahir dari program yang sama iaitu Raja Lawak.

“Saya bukan sahaja bantu rakan artis tetapi juga orang luar yang tak kenal pun. Allah SWT beri rezeki bukan 100 peratus untuk kita tetapi ada bahagian yang perlu kita berbahagi dan demi kebaikan bersama,” katanya sperti dipetik HibGlam.

Zizan turut mengakui timbul rasa bimbang jika bantuan yang dihulurkan disalah anggap sebagai riyak atau sekadar mahu menunjuk-nunjuk.

Namun baginya, membantu tidak semestinya dengan wang tunai semata-mata, sebaliknya boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk.

Ini termasuk menggunakan platform untuk menguar-uarkan kepada masyarakat, agar lebih ramai terdorong melakukan kebaikan.

“Saya takut sebenarnya, kalau boleh nak diam-diam sahaja selepas menderma tapi mungkin orang tak nampak perkara tersebut.

“Bukan nak tunjuk saya baik tapi mahu beri inspirasi kepada orang lain.

“Nak bantu orang bukan soal duit sahaja, kita ada tangan, tenaga dan suara. Semua ini pun boleh bantu orang sekeliling kita.

“Takut ada pihak yang lihat benda ini sebagai riyak dan sebab itu saya tak akan komen dalam mana-mana hantaran berkaitan hal tersebut, saya diam sahaja,” kongsinya.

Baca juga: