Haneesya Hanee dedah perkara sebenar sebalik video kelab malam, tanpa tapisan atau berselindung

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon dan model, Haneesya Hanee akhirnya memilih untuk membuka suara mendedahkan perkara sebenar di sebalik rakaman di kelab malam yang kembali tular baru-baru ini selepas lapan tahun berlalu.

Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan itu, keputusan untuk mendedahkan perkara sebenar dibuat ekoran spekulasi tidak sahih berhubung kejadian tersebut masih tersebar sehingga ke hari ini.

Selebriti berusia 25 tahun itu mengakui sudah berusaha bersikap jujur sebelum ini namun penjelasannya seperti langsung tidak didengari mahupun dipercayai kerana ia datang daripada ‘mulut seorang pendosa’.

Oleh yang demikian, Haneesya kali ini sudah tidak mahu berselindung dan akan membongkarkan segala-galanya berhubung isu rakaman tular tersebut menerusi satu sesi temu bual akan disiarkan tidak lama lagi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pelakon drama bersiri popular Aku Bukan Ustazah itu dalam ruangan kapsyen perkongsian video berdurasi 10 saat yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

“Tidak mengapa, biarlah saya duduk dan nikmati sahaja perjalanan ini. Saya sudah cuba bercakap jujur, tetapi tak ada siapa yang mahu dengar atau percaya kata-kata dari mulut seorang pendosa.

“Saya sudah lakukan satu temu bual di mana saya luahkan segalanya tanpa tapisan mahupun berselindung. Apabila temu bual itu disiarkan nanti, itulah kali terakhir saya akan bercakap tentang isu ini,” katanya dalam perkongsian itu.

@haneesyahanee_

Its okay let me take a sit n im gonna enjoy this ride. I been trying to tell the truth but nobody wants to listen or believe words from a sinners mouth. I did 1 interview where i shared everything. I spilled everything unfiltered. Once that interview is on air, it will be the last time ill ever talk about this issue. Im a grown adult now. Yall wanna be mad at my 18yrs self be my guests be mad stay mad. Im not 18 anymore. 8 years living in guilt. 8 years of feeling having to beg everyone’s forgiveness. 8 years battling with my own mental health. So Aku nk tengok on that day berapa ramai yg akn gigit lidah sendiri nanti.

♬ original sound – THE ONE (Check Bio)

Haneesya juga tidak ambil peduli sekiranya tindakannya itu akan mengundang kecaman orang ramai selepas ini kerana percaya dirinya juga mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

Dalam perkongsian yang sama, Haneesya memaklumkan bahawa dirinya sudah cukup matang untuk berhadapan dengan apa sahaja reaksi orang ramai selain menantikan maklum balas mereka.

“Saya kini sudah dewasa. Kalau masih ada yang masih lagi marah dengan diri saya ketika berumur 18 tahun dahulu, silakan. Teruskan marah. Tetapi saya bukan lagi gadis yang berusia 18 tahun itu.

“Selama lapan tahun saya hidup dalam rasa bersalah. Lapan tahun juga saya rasa seolah-olah terpaksa merayu agar semua orang memaafkan saya. Lapan tahun juga saya bergelut dengan kesihatan mental sendiri.

“Jadi apabila video temu bual itu disiarkan nanti, saya mahu lihat berapa ramai yang akan tergigit lidah sendiri.” Ujar pelakon yang mula meraih populariti selepas memenangi pertandingan realiti Dewi Remaja.

Gelaran Dewi Remaja untuk edisi 2018/2019 yang diterima oleh Haneesya bagaimanapun ditarik balik susulan penularan rakaman di kelab malam melibatkan dirinya dan beberapa peserta lain dalam pertandingan tersebut.

Rakaman itu bagaimanapun kembali tular baru-baru ini selepas isu membabitkan pelakon lain yang juga peserta pertandingan program realiti berkenaan turut hangat diperkatakan di media sosial.

Baca juga: “Korang tuhan ke?” – Haneesya Hanee terkilan isu ‘minum’ kembali tular selepas 8 tahun