Kanser belum sembuh, murid 10 tahun jadi mangsa buli gara-gara kakak tolak cinta

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang, kes buli makin kerap berlaku, lebih menyedihkan, ada yang sanggup menyerang adik-beradik orang lain hanya kerana cinta mereka ditolak.

Alasan sebegini bukan sahaja tidak masuk akal, malah menunjukkan betapa seriusnya masalah buli dalam kalangan pelajar.”

Awal tahun ini, ada satu kes dimana seorang murid lelaki berusia 12 tahun memukul adik lelaki kepada murid perempuan yang disukainya lapor Malaysia Gazette.

Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi berkata kejadian menimpa anaknya, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, berlaku pada 21 Februari lalu, pukul 5 petang di sebuah sekolah agama Johor Bharu

“Anak saya dipukul murid lelaki berusia 12 tahun termasuk ditendang, dihentak kepala bahagian kiri dan kanan serta dipaksa bogel.

“Murid berusia 12 tahun itu berbuat demikian kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan anak perempuan saya iaitu kakak kepada mangsa yang menolak cintanya.

“Anak lelaki saya itu merupakan pesakit kanser hidung Adenoid cystic carcinoma (ACC) dan selepas kejadian itu menerima kesannya,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette.

Lebih menyedihkan dia hanya mengetahui mengenai kejadian berkenaan sebulan selepas situasi tersebut berlaku dan difahamkan kes berkenaan tidak sesuai dibuka kertas siasatan.

Anak keempat daripada enam beradik itu juga kerap dimasukkan ke hospital kerana mengadu sakit kepala selepas kejadian tersebut.

“Dia disahkan mengalami gegaran otak dan saya hanya dimaklumkan kejadian itu oleh anak perempuan saya pada 24 Mac lalu.

“Anak perempuan saya berkongsi kejadian sebenar kerana bimbang keadaan adiknya.

“Biarpun anak saya mengalami masalah gegaran otak dan mengakibatkan keluarga kami berdepan pelbagai kesulitan.

“Pelaku tidak diambil tindakan dengan alasan bawah umur dan mungkin bertindak dengan akal tidak waras,” katanya.

Disebabkan itu tindakan diambil hanya berjumpa dengan keluarga murid terbabit dan kini anaknya menjadi mangsa buli murid lain menyebabkan dia memilih untuk buat laporan polis pada 15 Ogos lalu.

“Anak saya mengadu pelaku berbeza memukulnya dengan menggunakan tangan di bahagian kepala ketika berada di sekolah kebangsaan tersebut.

“Saya tidak pasti mengapa anak saya menjadi mangsa dan adakah dia dilihat seorang yang lemah kerana berpenyakit hingga diperlakukan demikian,” kongsinya

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya mengambil serius kejadian buli ini. Siasatan kes perlu disegerakan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Ia mesti dikendalikan secara adil dan telus berlandaskan garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi murid terbabit, manakala siasatan berhubung kes tersebut sedang dijalankan.

Baca juga: 5 produk Malaysia ini digilai netizen Indonesia