Letak nama anak terlalu panjang, ini risiko yang ramai ibu bapa tak tahu

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai ibu bapa gemar memberikan nama anak panjang dan unik kerana ia dianggap penuh makna serta doa.

Namun, tanpa disedari, nama yang terlalu panjang atau sukar disebut sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada anak di kemudian hari.

Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, nama yang mudah disebut lebih digemari dan dipercayai orang sekeliling

Dalam kajian name-pronunciation effect yang diterbitkan dalam Journal of Experimental Social Psychology, penyelidik mendapati individu dengan nama ringkas lebih mudah diterima, bahkan lebih dipercayai dalam hubungan sosial.

Kajian lain pula menunjukkan nama yang pendek dan jelas memberi kesan positif dalam kerjaya, hubungan sosial, malah reputasi atas talian.

Dari sudut kognitif, otak manusia lebih cepat memproses serta mengingati perkataan yang ringkas, berbanding nama panjang yang sukar disebut (processing fluency).

Risiko nama terlalu panjang

  1. Tidak muat dalam borang rasmi.
  2. Mudah tersalah eja atau tersalah sebut.
  3. Menyusahkan dalam urusan dokumen antarabangsa.
  4. Memberi beban emosi apabila orang lain sering salah panggil.

Bayangkan seorang anak perlu memperkenalkan diri setiap kali masuk kelas, mesyuarat atau temu duga kerja dengan nama yang panjang dan sukar disebut.

Cadangan untuk ibu bapa

  1. Pilih nama sederhana panjang, cukup 2 hingga 3 perkataan.
  2. Pastikan mudah disebut, elakkan gabungan huruf pelik atau jarang digunakan.
  3. Sediakan nama panggilan ringkas untuk kegunaan harian.
  4. Fikir jangka panjang, bayangkan penggunaan di sekolah, universiti, tempat kerja hingga dokumen rasmi.
  5. Utamakan makna, bukan sekadar panjang.

Nama ringkas, mudah disebut dan mudah diingat lebih memudahkan perjalanan hidup anak berbanding nama panjang yang akhirnya menyusahkan.

Baca juga: ‘Abah kerja keras siang malam untuk awak dan adik-adik…’