Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha menafikan dakwaan bahawa dirinya adalah selebriti yang dikatakan berkahwin secara ‘diam-diam’ serta bergelar isteri keempat kepada golongan kenamaan.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, pemilik nama sebenar Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu mengakui hanya mampu tergelak apabila dikaitkan dengan gosip sedemikian.
Hal ini berikutan selebriti berusia 32 tahun terbabit sudah lali dan tidak terganggu lagi dengan segala gosip liar yang dilemparkan terhadapnya selama ini terutama mengenai hubungan.
Pelantun lagu Penat berkenaan juga menyifatkan khabar angin seperti itu seakan-akan cubaan menidakkan semua kerja keras yang dilakukannya selama ini untuk menikmati kehidupan selesa.
“Kakak wartawan hubungi bertanya, adakah Daiyan tahu mengenai nama saya dipetik orang ramai di laman TikTok. Kononnya Daiyan adalah isteri keempat kepada seorang Datuk yang namanya dirahsiakan.
“Saya hanya mampu tergelak. Didakwa ada ‘sugar daddy’, isteri keempat dan dibela oranglah. Apa sahaja cara dilakukan untuk menidakkan segala kerja keras dan usaha yang saya lakukan sendiri selama ini,” kesalnya.
Daiyan yang juga Pemenang anugerah Ultimate Award Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 itu menegaskan bahawa dirinya tidak mahu mengambil peduli dengan gosip dilemparkan terhadapnya.
Terdahulu, tular khabar angin mengatakan seorang pelakon wanita berusia 31 tahun yang tidak didedahkan identitinya sudah mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri keempat kepada lelaki kenamaan.
Walau bagaimanapun, tarikh pernikahan pelakon terbabit tidak diketahui namun didakwa sudah lama menjalinkan hubungan dengan lelaki bangsawan berkenaan sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.
Baca juga: Netizen tak tahan gelak tengok peminta sedekah ramai-ramai patah tengkuk