Ramai dalam kalangan kita tidak malu membelanjakan wang untuk barangan berjenama atau mahal, kadang kala tanpa kira kemampuan hanya demi status sosial.
Pernah membelanjakan lebih RM100,000 demi barang berjenama, pelakon Anzalna Nasir mengakui kini lebih senang berkongsi rezeki bersama orang yang memerlukan.
Menerusi Instagram Story, Anzalna memaklumkan dirinya masih membeli barangan mewah cuma tidak segila dulu lapor Kosmo! Online.
“Dahulu saya tak kisah pun berbelanja lebih RM100,000 untuk membeli barangan mewah. Sekarang pun masih membeli apa yang saya suka, cuma tidak segila dulu.
“Saya mula sedar harga sebuah beg berjenama sebenarnya mampu mengenyangkan ramai keluarga.
“Wang sebanyak itu juga dapat menyara ibu bapa yang kesusahan dan membantu seseorang untuk bangkit semula dalam kehidupan,” katanya dalam InstaStory.
Kongsinya, dia berharap bantuan kepada mereka yang memerlukan akan mendekatkan dirinya kepada Allah.
“Semakin meningkat usia, hati saya hanya mahu dekat dengan Allah. Hidup juga terasa lebih bermakna apabila melakukan kebaikan, memberi kepada yang memerlukan serta mencari keberkatanNya.
“Saya berharap akan sentiasa berada di landasan yang betul dan dapat terus istiqamah, doakan saya,” ujarnya.
Awal Ogos lalu Anzalna sempat menyumbangkan beberapa barangan bayi kepada penghantar makanan yang tular menukar lampin anak di atas motor.