Tular sebelum ini mengenai dakwaan arwah Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh hingga menaikkan kemarahan ramai.
Bagaimanapun pembuat kandungan tersebut yang juga seorang guru Bahasa Inggeris mengaku ia hanyalah ‘content’ semata-mata.
Menurut Harian Metro, Siti Hajar Aflah Sharuddin didakwa di Mahkamah Majistret Sepang dan mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Berdasarkan pertuduhan, wanita berusia 39 tahun itu didakwa didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam.
Kenyataan tersebut juga dilihat boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Ibu tunggal itu didakwa membuat kenyataan di akaun TikTok miliknya pada 1.20 tengah hari, 6 Ogos lalu.
Kenyataan tersebut juga dilihat dan didengar oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini membuka sebanyak 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian pelajar tingkatan satu itu.
Baca juga: Kes Zara Qairina: Tertuduh bukan anak VVIP, peguam berkhidmat secara pro bono