Rancang nak nikah dua bulan lagi, pasangan duda-janda ditangkap khalwat buat kali kedua

Oleh WAN SITI AMINAH

Sepasang kekasih yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan Oktober depan ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah kediaman terletak di Tangkak, Johor baru-baru ini.

Namun perkara lebih mengejutkan adalah pasangan itu bukanlah kali pertama ditangkap kerana duduk berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan oleh pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj).

Sebaliknya, lelaki dan wanita masing-masing berusia 30-an yang juga berstatus duda dan janda anak satu terbabit pernah dicekup di lokasi sama oleh penguat kuasa Jainj sebelum ini malah sudah dijatuhkan hukuman.

Mereka kembali ditangkap tiga bulan kemudian selepas penguat kuasa Jainj membuat pemeriksaan di kediaman tersebut pada sekitar pukul 12.30 tengah malam susulan menerima aduan orang awam.

“Pasangan berkenaan pernah ditahan pada tiga bulan lalu di rumah yang sama. Mereka merancang untuk bernikah dua bulan lagi. Malah proses untuk permohonan nikah juga sudah dilakukan.

“Pada malam kejadian, lelaki terbabit menaiki kereta dan meletakkan kenderaan itu di bawah pokok kira-kira 200 meter dari rumah wanita berkenaan. Apabila masuk ke rumah tersebut, pihak penguat kuasa menerima aduan.

“Pasangan ini tidak bercakap banyak kerana mengenali penguat kuasa yang sama menangkapnya sebelum ini,” kongsi pihak Jainj dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi hantaran di platform Facebook.

Jainj dalam kenyataan tersebut memaklumkan bahawa pasangan itu sudah diberikan nasihat oleh penguat kuasa untuk segera melangsungkan perkahwinan ketika tangkapan pertama dibuat.

Namun gara-gara tidak dapat menahan sabar, mereka berdua kembali ditangkap buat kali kedua dan telah dihadapkan ke Mahkamah Syariah Tangkak atas kesalahan berkhalwat.

“Untuk pertuduhan kes yang pertama, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 setiap seorang atau dipenjara selama sebulan. Tetapi nampaknya belum cukup untuk menginsafkan pasangan ini.

“Manakala bagi kes yang kedua ini, Mahkamah Syariah Tangkak telah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 terhadap mereka sementara menunggu tarikh perbicaraan.” Jelas Jainj lagi.

Baca juga: Buat ‘content’ dakwa Zara Qairina disumbat dalam mesin basuh, guru BI mengaku tak bersalah