myBurgerLab mohon maaf, pecat COO tulis komen kontroversi isu denda solat Jumaat

Oleh WAN SITI AMINAH

Rangkaian burger tempatan, myBurgerLab menamatkan perkhidmatan Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikatnya, Andrew Chong serta segala kaitan dengannya berkuat kuasa pada hari ini.

Tindakan itu diambil susulan penularan ciapan dipercayai dimuat naik oleh Andrew di akaun media sosial miliknya berhubung isu denda kepada lelaki Islam yang tidak solat Jumaat di Terengganu.

myBurgerLab turut menegaskan bahawa mereka tidak berkongsi pandangan sama dengan Andrew berhubung isu tersebut selain menekankan bahawa kenyataan itu bertentangan dengan nilai syarikat.

Sehubungan itu, syarikat tersebut tampil memohon maaf dengan tulus ikhlas terutamanya terhadap mereka yang terkesan dengan insiden berkenaan menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook.

“Kami amat dukacita dengan catatan peribadi di media sosial daripada bekas COO kami, Andrew Chong yang telah menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan kesakitan yang wajar khususnya di kalangan rakan Muslim akibat tidak menghormati nilai-nilai Islam.

“Ini bukanlah kenyataan rasmi myBurgerLab dan tidak mencerminkan prinsip teras kami iaitu penghormatan, perpaduan, dan keterangkuman bagi semua rakyat Malaysia. Catatan Andrew bertentangan dengan nilai-nilai syarikat dan kami mengambil tanggungjawab penuh atas kelalaian ini.

“Kami mengutuk sebarang bentuk diskriminasi atau ketidakhormatan terhadap agama serta berdiri teguh bersama komuniti Muslim kami. Kepada semua yang terkesan, kami menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas.” Kongsi myBurgerLab dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Andrew tampil memohon maaf dan mengakui kesal kerana menyinggung perasaan umat Islam dengan mengkritik tindakan kerajaan Terengganu mengenakan denda terhadap lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah.

Andrew sebelum ini dikatakan menulis komen sensitif di akaun media sosial sebagai maklum balas kepada laporan berhubung denda dikenakan terhadap lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat di Terengganu.

“Perlahan-lahan, tetapi pasti Malaysia akan diambil alih oleh ekstremis. Kita akan jadi seperti Iran selepas revolusi. Apa yang berlaku hari ini, dan itu pasti menakutkan orang ramai,” ciapnya dalam hantaran itu.

Susulan kejadian tersebut, myBurgerLab akan menyemak dasar dalaman syarikat dan bakal melaksanakan latihan sensitiviti budaya bersama pakar termasuk pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Pihaknya juga berikrar untuk lebih berwaspada selepas ini dalam memastikan myBurgerLab kekal sebagai simbol keharmonian Malaysia yang mana setiap individu merasa dihormati.

“Kami amat menyesal dan dengan rendah hati memohon keampunan anda sambil membina semula kepercayaan anda. Terima kasih atas sokongan anda.” Ujar pihak pengurusan rangkaian makanan segera itu.

Baca juga: Pemilik rumah di tengah lebuh raya akhirnya berpindah lepas tak tahan bunyi bising