Farhash gesa Rafizi mohon maaf dalam masa 48 jam

Oleh ROSLAN ZAMAN

Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador pada 22 Ogos yang lalu telah menghantar surat tuntutan kepada bekas timbalan Presiden PKR, Datuk seri Rafizi Ramli yang didakwa mencemarkan reputasinya.

Rafizi Ramli diberi tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka berkenaan kenyataannya yang mengaitkan nama Farhash dengan insiden serangan terhadap anaknya serta urus niaga syarikat tertentu.

Tuntutan itu dibuat melalui surat “cease and desist” yang dihantar firma guaman Ahmad Deniel, Ruben & Co bagi pihak Farhash pada 22 Ogos lalu.

Memetik laporan dari astro awani, surat tersebut antara lain mendakwa kenyataan Rafizi dalam satu video siaran langsung yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau pada 20 Ogos.

Tindakan itu, menurut peguam Farhash, menjejaskan reputasi anak guam mereka.

Antara tuntutan yang dinyatakan termasuk arahan supaya Rafizi segera berhenti daripada mengulangi kenyataan berkenaan, memadam video terbabit daripada semua platform, serta mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh ditetapkan.