Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi pengalaman tidak menyenangkan berhubung ‘cabaran’ dalam menyusukan anak kandungnya.
Menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Threads miliknya, wanita berkenaan mengakui sering mengalami masalah bengkak susu kerana anaknya enggan menyusu badan ketika masih bayi.
Namun alangkah kecewanya ibu itu selepas mengetahui bahawa masalah tersebut bukanlah berpunca daripada dirinya sendiri sebaliknya disebabkan oleh tindakan kakak iparnya yang gemar menyusukan bayi berkenaan.
Difahamkan, kakak ipar kepada wanita terbabit sering kali menyusukan anaknya secara ‘diam-diam’ tanpa meminta kebenaran daripada dirinya mahupun suami sehinggakan bayi terbabit terbaring kekenyangan.
“Semasa dapat zuriat pertama dahulu, tak tahulah kenapa kakak ipar suka sangat beri susu badannya kepada anak saya. Padahal dia ada anak juga. Usianya juga lebih kurang sebaya anak saya. Tetapi dia selalu cari peluang nak sumbat susunya dekat anak saya.
“Saya tak kisah kalau dia nak jadi ibu susuan. Tetapi pelik, kenapa dia asyik-asyik nak susukan anak saya. Sedangkan saya ada susu badan sendiri. Bukannya kering pun. Ini pantang saya tinggalkan anak sekejap nak mandi, makan atau buang air kecil.
“Cepat-cepat dia susukan. Sampai kenyang terlantar anak saya. Akibatnya anak sudah tak mahu susu saya. Sampai saya alami bengkak susu. Malah semua ini terjadi tanpa minta kebenaran saya. Terus sumbat sahaja,” kesalnya dalam perkongsian itu.
Lebih mengecewakan, ibu mentuanya malah meletakkan kesalahan di bahunya dengan memberi kata-kata sindiran bahawa dirinya merasa simpati kepada cucunya berikutan susu ibunya ‘tidak sedap’.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila suaminya disifatkan seperti ‘lembu dicucuk hidung’ kerana lebih mengambil pendekatan berdiam diri malah tidak membela isterinya ketika berlaku pertelingkahan dengan keluarga mentua.
“Mestilah saya bising, jadi watak jahatlah di mata mereka. Lebih menyakitkan hati ibu mentua saya juga akan cakap, ‘Kasihan cucu Mak, susu ibu tak sedaplah itu. Biar Mama (kakak ipar) susukan. Susu Mama sedap’ setiap kali anak menangis.
“Apabila saya minta anak balik, kakak ipar cakap biarlah. Sebab dia tengah menyusu, kasihan pula nak cabut. Saya memang bergaduh. Suami pula tak pertahankan saya dan bayi kami langsung. Jadinya saya dan suami bergaduh lebih teruk berbanding dengan keluarga mentua.
“Kejadian ini berlaku bertahun yang lalu, sekarang ini saya sudah tak balik ke rumah mentua. Kehidupan saya lebih tenang sekarang, Alhamdulillah.” Ujar wanita itu mengakui insiden tersebut meninggalkan kesan cukup mendalam buat dirinya meskipun sudah berlalu.
Baca juga: Warga emas terkejut simpanan Tabung Haji tinggal RM25, terkedu dengar penjelasan staf