Kakitangan sekolah antara dipanggil polis kes pelajar jatuh asrama di Sabak Bernam

Oleh MALAYSIADATELINE

Sebelum ini tular mengenai pelajar Tingkatan Tiga yang berada dalam keadaan kritikal selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama di Sabak Bernam.

Terbaharu, kakitangan sekolah antara individu yang telah dipanggil pihak polis untuk beri keterangan berhubung kes tersebut.

Menurut Astro Awani, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan masih dijalankan dan beberapa rakaman percakapan telah direkodkan bagi membantu siasatan pihak polis.

“Siasatan masih berterusan, rakaman percakapan individu-individu juga telah diambil bagi membantu siasatan polis… (termasuk) dari pihak sekolah, juga telah diambil,” katanya seperti dipetik Astro AWANI.

Media sebelum ini melaporkan polis Selangor mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian itu dan sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Shazeli memaklumkan bahawa siasatan merangkumi pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekitarnya.

Tegas beliau, sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk dakwaan unsur buli, masih terlalu awal untuk disahkan.

Baca juga: Di sini lubuk butik buang baju-baju berjenama yang tak terjual