Tidak semua insan bertuah dilahirkan dalam kesenangan. Ada yang terpaksa memikul tanggungjawab besar membantu keluarga, saat rakan sebaya sibuk mengejar pelajaran di sekolah.
Begitulah nasib seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru Komprehensif 9 (K9) yang terpaksa tidak hadir ke sekolah selama dua bulan sejak Jun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, Muhammad Syakir Iman Abdullah mengambil upah memasang jubin sejak Jun lalu.
Perkara itu hanya disedari pihak sekolah selepas mereka sendiri menziarahi kediamannya di Kampung Teluk Renjuna.
“Bapa tiri hanya mengambil upah mengopek kelapa dengan pendapatan sekitar RM300 sahaja sebulan dan ujian paling berat adalah ibu yang menghidap sakit buah pinggang tahap lima.
“Ibu perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di hospital tapi selalu gagal hadir kerana kekangan kewangan disebabkan perlu menggunakan dua jenis pengangkutan iaitu bot memandangkan kediaman kami terletak di delta Sungai Kelantan sebelum menaiki kereta yang disewa.
“Lagipun ibu sangat lemah dan pergerakan yang agak banyak sebegitu semakin menyukarkannya sebelum mengambil keputusan untuk sesekali tidak hadir ke hospital di Kota Bharu,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Jelas Muhammad Syakir pekerjaan tersebut hanyalah secara sambilan kerana dia mahu meneruskan pembelajaran dan memenuhi cita-cita untuk menjadi tentera.
Malah dia juga seorang atlet yang pernah mewakili Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dalam acara renang.
“Cikgu sekolah terutama kaunselor banyak memberi sokongan termasuk bantuan wang saku saya di sekolah sebelum ini dan Insya Allah saya akan kembali semula ke sekolah,” katanya.
Sebelum ini remaja itu dibawa membeli peralatan sekolah di bandar Tumpat yang ditaja oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).
Presidennya, Aiman Yusri Mohd Yusof berkata, pihaknya terpanggil membantu meringankan beban yang ditanggung Muhammad Syakir dan keluarganya.
“Kami juga dalam perbincangan untuk membaik pulih kediaman keluarganya yang sangat daif dan permohonan sudah diangkat kepada pihak Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM),” katanya.
Baca juga: Papagomo kena penjara 30 hari