Polis berjaya menumpaskan kegiatan pedofilia yang berkongsi kandungan pornografi bayi dan kanak-kanak dalam platform Telegram dan dark web baru-baru ini dengan penangkapan 11 suspek warga asing dan tempatan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M Kumar, aktiviti terkutuk itu terbongkar selepas penahanan seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik.
Suspek ditahan menerusi Op Pedo dijalankan Unit Siasatan Jenayah Siber Terhadap Kanak-kanak (MICAC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dengan MICAC Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan agensi antarabangsa bermula 19 Julai hingga 19 Ogos lalu.
Juruteknik tempatan berusia 29 tahun yang ditahan pada 19 Julai lalu di Johor Bahru itu didakwa melakukan penderaan seksual termasuk merogol, meliwat dan mendera secara seksual bayi serta kanak-kanak tersebut bagi memuaskan nafsu.
Semua perbuatan menjijikkan bersama mangsa termasuk dua bayi lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara dua bulan hingga lima tahun itu dirakam untuk dijual di laman gelap dan aplikasi Telegram.
Jelas Kumar, modus operandi suspek adalah mendapatkan bekalan bayi melalui Facebook yang menawarkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat sebelum berurusan dengan ibu kandung, lapor Malaysia Gazette.
Suspek kemudian akan berurusan bersama-sama ibu kandung bayi tersebut sehingga segala proses dalam memperoleh sijil kelahiran yang sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selesai.
“Sasaran adalah wanita yang mengandung anak luar nikah dan membeli bayi tersebut antara RM1,500 hingga RM3,500 termasuk melunaskan bil bersalin hospital.
“Semua proses pengambilan anak angkat tersebut dilakukan secara sah dan selepas selesai bayi itu diambil sebagai anak angkat, dia memutuskan hubungan dengan ibu kandung mangsa selepas dokumen diperoleh. Suspek akan menggunakan bayi-bayi tersebut bagi penghasilan bahan penganiayaan kanak-kanak.
“Lalu menyebarkan video serta gambar berkenaan dalam aplikasi telegram dan dark web bagi mendapatkan ganjaran wang dan pertukaran bahan tersebut dengan ahli kumpulan yang lain,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Beberapa siri serbuan, tangkapan dan rampasan dilakukan di Johor Bahru, Selangor serta Pulau Pinang manakala pemeriksaan dalam telefon bimbit milik suspek utama itu menjumpai puluhan rakaman video dan ratusan gambar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Pihak polis turut menahan 10 suspek lain melibatkan dua wanita tempatan, dua lelaki Indonesia, seorang lelaki Myanmar, seorang wanita Suluk dan empat wanita Indonesia berusia antara 25 hingga 60 tahun untuk membantu siasatan.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut berjaya menyelamatkan tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi lelaki berusia dua bulan hingga lima tahun yang berada dalam kawalan suspek utama dan dikhuatiri sudah menjadikan mangsa.
“Wanita-wanita ini berperanan sebagai penjaga dan pengasuh kepada bayi dan kanak-kanak yang dalam kawalan suspek ini,” ujarnya dalam satu sidang media akhbar dilakukan di IPK Johor hari ini.
Pihaknya turut merampas dokumen seperti sijil kelahiran, kad pengenalan orang lain, buku ibu mengandung dan borang kosong Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telefon bimbit dan ‘hard disk’ daripada rumah suspek utama.
Dalam pada itu, siasatan juga mendedahkan bahawa suspek turut mencari mangsa di kawasan kejiranan tempat tinggalnya secara rambang dan menyasarkan kanak-kanak perempuan yang tinggal berseorangan di rumah tanpa penjagaan atau seliaan orang dewasa.
Semua mangsa itu kini ditempatkan di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lima kertas siasatan juga dibuka antaranya mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) akta yang sama.
Baca juga: Terselindung di sebalik animasi, kanak-kanak terdedah unsur lucah di internet