Siapa sangka, orang ramai sanggup ‘berkampung’ di Dataran Putrajaya sejak malam semalam demi menyaksikan acara Perbarisan dan Perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini.
Dataran yang menjadi lokasi sambutan kemerdekaan negara ke-68 itu sudah mula dibanjiri oleh rakyat Malaysia kira-kira pada pukul 10 malam sedangkan perarakan dan perbarisan dijangka mengambil tempat sekitar jam 8 pagi.
Difahamkan, kesemua yang hadir rela ‘bermalam’ di dataran tersebut untuk memenuhi barisan hadapan sepanjang laluan perarakan di lokasi itu demi mendapatkan permandangan terbaik ketika perbarisan berlangsung.
Berdasarkan beberapa rakaman tular di laman media sosial, orang ramai dilihat sudah membentangkan tikar di kaki lima jalan raya untuk bersantai dengan ahli keluarga sementara menunggu acara sambutan dimulakan.
Malah ada di antara mereka mungkin keletihan sehingga melelapkan mata untuk berehat sementara waktu mengumpul kembali tenaga bagi meraikan Hari Kebangsaan 2025 selain perlu menempuh perjalanan jauh.
“Hari kemerdekaan di Dataran Putrajaya. Tidur sinilah kita ya,” kata salah seorang pengunjung yang sudah mula berkumpul sebelum pukul 10 malam tadi dalam satu perkongsian video dimuat naik di platform TikTok.
Tinjauan dalam beberapa sesi siaran langsung di platform sama mendapati kerusi disediakan di dataran berkenaan sudah hampir penuh pada sekitar jam 3 pagi tadi malah ada juga yang membawa tempat duduk sendiri.
Kegigihan masyarakat berbilang kaum dan keterujaan mereka dalam meraikan Hari Kemerdekaan negara ini menunjukkan bahawa semangat patriotik di dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi kuat.
Untuk rekod, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan bermula pada 7 pagi esok dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Program akan dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, lafaz ikrar Rukun Negara dan perarakan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sejauh 2.1 kilometer.
Perarakan untuk sambutan pada tahun ini akan dimeriahkan dengan seramai 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 haiwan dan 21 kumpulan pancaragam.
Baca juga: Tegap bukan main! Penampilan ‘Oyen’ dalam raptai perbarisan curi perhatian ramai