Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi mendapati negara ini mempunyai tiga pencapaian penting di dalam ekonomi namun disifatkannya sebagai ‘unsung wins’ atau kejayaan yang tidak didendangkan.
Sebaliknya Apurva menerusi perkongsian dimuat naik di platform X menegaskan bahawa pencapaian Malaysia terutamanya dalam pembangunan ekonomi sepatutnya dibanggakan oleh rakyat di negara ini.
Berikut adalah tiga kejayaan utama dicapai oleh Malaysia daripada sudut ekonomi yang mana menurut Apurva, ia sepatutnya didendangkan rakyat menerusi perkongsian dibuat bersempena kemerdekaan negara.
1. Pengurangan kemiskinan secara drastik

Apurva menjelaskan bahawa pencapaian pertama adalah pengurangan kadar kemiskinan yang sangat ketara sejak kemerdekaan yang mana hampir separuh dari penduduk Malaysia dianggap miskin 10 tahun selepas Tanah Melayu memperoleh kebebasan.
Beliau berpendapat kejayaan ini juga berjaya diperolehi tanpa wujudnya kawasan setinggan kekal seperti sering terjadi di negara lain iaitu salah satu aspek yang baginya selalu diabaikan khususnya dalam perbincangan melibatkan pembangunan negara.
“Pada hari ini, hanya kira-kira enam daripada setiap 100 rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan. Ini bermakna lebih 14 juta rakyat Malaysia berjaya keluar daripada kemiskinan. Walaupun usaha untuk menghapuskan kemiskinan sepenuhnya masih diteruskan.
“Namun pencapaian ini adalah sangat luar biasa. Malah Singapura tidak perlu menangani masalah kemiskinan dalam skala sebesar ini, maka rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga,” katanya dalam perkongsian dimuat naik di akaun miliknya itu.
2. Ekonomi pelbagai dan kompleks
Pencapaian kedua yang disenaraikan oleh Apurva adalah kejayaan dalam mempelbagaikan ekonomi atau tahap kerumitan ekonomi (economic complexity) yang tidak bergantung kepada komiditi pada tahap pendapatan sama ketika Malaysia mencapai kemerdekaan seperti negara lain.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita juga kini 3.6 kali ganda lebih tinggi daripada Filipina dan sembilan kali ganda lebih tinggi daripada Zambia iaitu dua negara yang bermula pada tahap pembangunan yang hampir serupa dengan Malaysia suatu ketika dahulu.
“Pada awal 1960-an, sebanyak 95 peratus eksport barangan Malaysia terdiri daripada komoditi asas atau barangan ‘mudah’. Kini, angka itu menurun kepada hanya 30 peratus. Kepelbagaian ekonomi ini meningkatkan taraf hidup rakyat secara langsung,” ujarnya.
3. Pemimpin global industri Halal
Pencapaian seterusnya adalah Malaysia secara diam-diam muncul sebagai pemain utama di dalam ekonomi halal global yang mana pensijilan dan piawaian halal daripada negara ini berhasil menjadi rujukan dan penanda aras antarabangsa kepada negara-negara lain.
“Pensijilan dan piawaian Malaysia kini menjadi rujukan global. Ini adalah satu lagi kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.” Jelasnya dalam perkongsian dibuat bersama Perunding dan Penganalisis Penyelidikan (Dasar Ekonomi) Bank Dunia Malaysia, Fionne Lim.
Secara kesimpulannya, Apurva Sanghi berpandangan bahawa tiga kejayaan utama ini berjaya membuktikan daya tahan dan strategi pembangunan ekonomi Malaysia yang sepatutnya dibanggakan atau ‘didendangkan’ oleh rakyatnya.
Baca juga: Gen Z lebih bijak urus kewangan, tak suka berbelanja mewah ketika ‘dating’