Pelakon, Rebecca Nur Islam akhirnya menjawab persoalan mengenai status perkahwinan sebenarnya dengan suami iaitu Datuk Norazam Sulaiman selepas memilih berdiam diri sebelum ini apabila dikhabarkan sudah bercerai.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, pelakon berusia 39 tahun terbabit membuat pengakuan mengejutkan bahawa dirinya kini sebenarnya sudah tamat menjalani tempoh iddah.
Rebecca yang mendedahkan perkara itu ketika berangkat ke Tanah Suci dipercayai untuk mengerjakan umrah turut meminta orang ramai mengirimkan doa buatnya supaya segala urusan dipermudahkan Allah SWT.
Perkara ini sekali gus mengesahkan khabar yang beredar sebelum ini bahawa dirinya sudah bercerai dengan suami selepas meletakkan status diri sebagai ‘single mother of 7’ atau ibu tunggal tujuh anak di akaun Instagram miliknya.
Selebriti terbabit turut memohon diberikan sedikit ruang dan memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak dapat menjawab begitu banyak persoalan terutamanya berhubung isu penceraiannya.
“Assalamualaikum semua. Saya dalam perjalanan nak ke rumah Nabi Muhammad SAW. Doakan saya selamat dan dipermudahkan Allah SWT di dalam semua urusan saya. Saya tidak dapat jawab soalan anda yang terlalu banyak.
“Maaf saya perlu ruang. Cuma apa yang boleh saya cakap, ‘Ya, saya sudah habis Iddah’. Teruskan berdoa untuk saya. Semoga Allah SWT sentiasa membalas segala kebaikan doa yang anda kirimkan. Amin,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian sama, Rebecca juga memohon maaf kerana tidak dapat membalas lebih 1000 mesej daripada orang ramai menerusi pesanan secara terus (DM) di akaun media sosial mahupun melalui aplikasi WhatsApp.
Pelakon itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak yang masih lagi mengambil berat terhadap dirinya selain memaklumkan bahawa keadaannya kini baik-baik sahaja dengan izin Allah SWT.
Terdahulu, Rebecca pada Khamis lalu berkongsi hantaran gambar bersama Datuk Nor Azam dengan mengucapkan terima kasih kepada suaminya di atas 18 tahun kenangan bersama selama melayari bahtera rumah tangga.
Reda dengan ketentuan Ilahi, pelakon juga memaklumkan bahawa mereka berdua sudah berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan rumah tangga namun takdir berkata lain.
“Assalamualaikum, 18 tahun kami bersama. Semoga Allah memberkati awak dengan kesihatan dan kemewahan. Terima kasih untuk memori 18 tahun ini, kita sudah cuba yang terbaik. Tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang.” Kongsinya.
Sekadar info, pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 14 Januari 2011 dan dikurniakan enam cahaya mata serta turut membesarkan anak angkat, Nor Adam Daniel yang kini berusia 16 tahun.