Enam tahun tiada tawaran, Salih Yaacob jual kereta, hidup dengan reviu produk

Oleh MALAYSIADATELINE

Pernah dijulang sebagai figura serba boleh dalam dunia seni, daripada pelawak, pelakon, penyanyi, pengacara hinggalah penyampai radio, nama Salih Yaacob suatu ketika dahulu cukup besar dalam industri hiburan tanah air.

Lebih empat dekad Salih mengukir perjalanan seni yang penuh warna, sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara artis paling dikenali generasi 80-an hingga 2000-an.

Namun namanya sudah semaking kurang didengari apatah lagi Salih mengesahkan sudah tidak menerima tawaran sejak enam tahun lalu lapor Berita Harian.

Jelasnya, kerjaya dalam dunia seni berakhir pada tahun 2019 sebagai penyampai radio dan selepas itu tidak ada tawaran baik dalam lakonan mahupun nyanyian.

“Sejak hilang mata pencarian, saya jual semua kereta, iaitu antara lima hingga enam kenderaan. Apa yang tinggal adalah rumah saya.

“Pendapatan pula, kalau Allah ada bagi, adalah. Tetapi, rezeki tidak putus. Ada syarikat minta buat reviu produk, jadi, dapatlah duit beberapa ribu.

“Saya juga buat sesi ‘live’ di TikTok. Dalam sebulan, dapatlah beberapa ratus ringgit. Itu pun saya bersyukur sebab tahu zaman saya sudah tamat. Sampai di sini sahaja

“Buat apa saya hendak kecil hati, Saya pun sedang tunggu untuk dipanggil pulang sahaja. Jadi, saya tidaklah mahu merayu. Apa yang saya boleh usahakan, saya usahakan sendiri,” katanya seperti dipetik BH Online

Dalam masa sama, Salih mengakui kesihatannya juga kurang baik sejak kebelakangan ini, nak berdiri lama juga menjadi sukar buatnya.

“Saya tidak beberapa sihat, biasalah, sakit orang tua. Saya tidak boleh berdiri lama sebab sudah enam tahun tidak bekerja.

“Saya duduk rumah sahaja. Jadi, hendak bangun lama-lama pun tidak boleh. Saya tidak berapa kuat, betul-betul tak larat. Ada masa bangun pun kena orang angkat.

“Tetapi, bukanlah sebab penyakit. Saya tiada sakit,” katanya.

Baca juga: Rebecca Nur Al Islam rupanya sudah habis Iddah, terbang ke Tanah Suci tunai umrah