Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meluahkan rasa geram dan kecewa dengan sikap pengendali platform Tiktok yang dianggap tidak serius menangani isu dibangkitkan berhubung aplikasi tersebut.
“Isu yang kita bangkitkan berkenaan dengan aspek keselamatan dalam talian. Saya meminta supaya pasukan TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan perbincangan, meletakkan beberapa tempoh masa serta tindakan yang perlu mereka lakukan,” katanya.
Menurut Fahmi, beliau sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius mengambil tindakan mengatasi masalah tertentu yang telah dibangkitkan sebelum ini.
“Satu contoh ialah apabila berlaku kes buli siber terhadap mendiang Rajeswary Appahu atau ‘Esha’, TikTok menjanjikan jumlah moderator kandungan termasuk Live akan ditambah, namun gagal menyatakan jumlah sehingga kini.
“Kami sudah berkali-kali meminta jumlah moderator yang mengawasi kandungan berbahasa Tamil daripada pihak TikTok, tetapi tiada maklum balas,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri pertemuan hampir sejam bersama pengurusan tertinggi TikTok di Bukit Aman pada Khamis.