Cuti umum pun kerja, Datuk Bandar PJ turunkan sendiri papan iklan haram

Oleh MAISARAH AISYA

Papan iklan di lebuh raya berfungsi sebagai medium promosi yang berkesan kerana mampu menarik perhatian ribuan pengguna jalan raya setiap hari.

Dengan saiz besar dan paparan visual yang jelas, ia sering digunakan syarikat untuk memasarkan produk atau perkhidmatan secara meluas.

Namun ada sesetengah pihak yang cuba mengiklankan servis atau jualan mereka secara haram dengan meletakkan iklan tanpa mendapatkan kelulusan.

Tidak menunggu lama, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon turun padang dan secara peribadi menurunkan papan iklan haram di Lebuhraya Persekutuan.

Menurut Harian Metro, iklan melibatkan sebuah syarikat pengeluar kenderaan sudah dua kali diberikan notis namun masih terus berdegil.

Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah memotong bekalan elektrik di lokasi dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini.

“Hari ini kita dapati mereka menggunakan (panel) solar pula, malah mereka memasang struktur kamera litar tertutup (CCTV) dan perkara ini seolah-olah mencabar kita.

“Jadi hari ini walaupun hari cuti umum kita akan turunkan iklan ini dan mana-mana struktur dibina tanpa kelulusan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tegas Mohamad Zahri, pihaknya tidak menghalang mana-mana syarikat untuk mengiklankan produk tetapi perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Syarikat iklan dari sebesar mana pun kalau mereka nak berniaga yang elok, kita tak menghalang, cuma ikut peraturan.

“Kalau saya sebagai Datuk Bandar tak ambil tindakan, siapa lagi nak ambil tindakan? Kalau orang lain tahu (papan tanda) ini tak ada kebenaran, dia (vendor) buat, vendor lain buat juga nanti.

“Saya tak suka bagi amaran tapi saya suka untuk menasihatkan mana-mana pihak yang nak buat iklan, buat apa jua ada peraturan, kalau tidak ikut akan kena (tindakan),” tambahnya.

Baca juga: