Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendedahkan bahawa beras tempatan yang pernah menjadi kekecohan, kini tidak mendapat sambutan apabila ia sudah berada di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata isu itu timbul berikutan kadar harga bagi beras tempatan tidak terlalu jauh berbeza dengan beras import.
Justeru kata beliau, kementeriannya sedang membuat kajian mendalam berhubung isu beras ini.
“Beras pula ketika ini ada masalah kerana terlalu murah dan ada saingan pula dengan beras import. Justeru kita sedang buat kajian secara mendalam hal beras ini.
“Hal ini kerana beras kita (tempatan) harga RM26 bagi 10 kilogram kurang laku..apabila ada beras import yang harganya tidak jauh (berbeza) dengan harga tempatan..beras tempatan mula ditinggalkan kembali.
“Jadi kita kena buat kempen pula sekarang ini untuk beli beras tempatan,” katanya semalam.
Sebelum ini, media melaporkan KPKM sentiasa memantau harga runcit beras putih tempatan secara berterusan bagi memastikan ia kekal pada kadar RM2.60 sekilogram sementara kajian semula dilaksanakan.
Langkah itu bagi memastikan rakyat terus memperoleh bekalan beras pada harga berpatutan susulan penamatan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi.
Sementara itu, ditanya mengenai penamatan subsidi telur ayam, Mohamad berkata harga telur di pasaran terkawal walaupun subsidi ditamatkan sejak 1 Ogos lepas.
“Alhamdulillah, setakat ini harganya terkawal..apabila ia membabitkan hal makanan kita tidak boleh cakap besar semuanya telah selesai, kita hanya boleh kata reda dan lega,” katanya.
Baca juga: “Kakaknya yang sakit” – Doktor dedah ibu bapa marah anak lain tak dapat MC