1.7 juta rakyat nikmati SARA, jualan tembus RM100 juta

Oleh MAISARAH AISYA

Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula pada 31 Ogos 2025 disambut baik apabila jutaan rakyat mula memanfaatkan kemudahan itu untuk membeli barangan keperluan asas.

Sejak hari pertama, program tersebut menjadi perhatian kerana memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup golongan penerima.

Dalam tempoh beberapa hari pertama, transaksi mencatatkan jumlah yang tinggi dengan penerima memanfaatkan kredit yang disalurkan bagi pembelian di kedai-kedai terpilih.

Situasi ini menunjukkan tahap penerimaan masyarakat terhadap inisiatif tersebut amat menggalakkan dan memenuhi keperluan asas harian rakyat.

Hari ketujuh pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar dengan jumlah jualan mencecah RM100 juta, melibatkan lebih 1.7 juta penerima setakat jam 10.30 malam semalam.

Kadar transaksi berjaya turut meningkat kepada 99.9 peratus, berbanding 99 peratus pada hari sebelumnya.

Menurut Kementerian Kewangan, kejayaan itu hasil daripada usaha penambahbaikan serta peluasan kapasiti pemprosesan sistem yang dijalankan sepanjang enam hari lalu.

Ini sekali gus memastikan kestabilan sistem dapat dicapai pada hari ketujuh pelaksanaan.

Secara keseluruhan, sejak dilaksanakan pada 31 Ogos 2025, lebih 10 juta rakyat telah memanfaatkan kredit Penghargaan SARA bagi membeli barangan keperluan asas.

Jumlah perbelanjaan rakyat daripada program itu juga telah mencecah RM641.9 juta di seluruh negara.

Baca juga: Beras tempatan berlambak di pasaran tapi tak laku-laku, apa pula kata Mat Sabu?