Pasangan dicekup lepas 5 tahun tinggal sebumbung, lahirkan dua anak luar nikah

Oleh WAN SITI AMINAH

Penemuan mengejutkan berlaku baru-baru ini apabila sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu sebuah rumah didiami pasangan di Kluang susulan menerima aduan orang awam.

Mana tidaknya, pasangan yang mendiami rumah tersebut didapati belum mendirikan perkahwinan namun telah bersekedudukan sejak lima tahun lalu malah sudah melahirkan dua anak tidak sah taraf.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, JAINJ memaklumkan serbuan dijalankan kira-kira pada jam 12 tengah malam itu menemukan seorang lelaki dan wanita berusia 30-an bersama dua orang kanak-kanak.

Hasil pemeriksaan oleh pihak penguat kuasa mendapati lelaki itu masih bujang manakala wanita terbabit pernah bernikah di luar negara dipercayai menggunakan agen sindiket sebelum ditinggalkan suami.

“Pasangan ini didapati telah tinggal serumah di kediaman yang disewa kira-kira selama lima tahun. Mereka ini hidup seolah-olah seperti suami isteri padahal tidak. Anak berkenaan adalah anak luar nikah atau tidak sah taraf.

“Kedua-duanya lahir di Hospital Kluang dan mempunyai surat beranak. Di surat beranak tersebut tidak dinyatakan nama bapa, hanya nama ibu. Wanita ini pernah bernikah sebelum ini dan ditinggalkan suami.

“Dalam siasatan awal mendapati sebelum ini dia bernikah di negara luar atau kahwin menggunakan agen sindiket. Semuanya itu jadi pengajaran kepada kita semua,” kata pihak JAINJ dalam kenyataan tersebut.

Jika didapati bersalah, pasangan itu boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau ketiga-tiganya sekali di atas kesalahan zina mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Baca juga: Inkues Zara Qairina: Tulisan tangan orang lain ditemui dalam buku milik arwah