Mesra layan pelanggan termasuk penerima SARA, juruwang tular diberi penghargaan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian daripada pelanggan berhubung sikap seorang juruwang di sebuah pasar raya yang bukan sahaja ramah malah langsung tidak lokek dengan senyuman sewaktu menjalankan tugas.

Sikap juruwang terbabit meninggalkan kesan yang cukup mendalam sehingga pelanggan sering memilih kaunter di tempat wanita itu ditugaskan untuk membuat urusan bayaran selepas melakukan pembelian.

Perkongsian di platform Facebook itu kemudian berjaya mengundang perbincangan hangat di kalangan netizen sebelum mendapat perhatian pihak pengurusan pasar raya yang terletak di Sitiawan, Perak berkenaan.

Pihak pengurusan kemudian memberikan penghargaan secara rasmi kepada juruwang dikenali Sunithaj Moorthy itu atas tanda terima kasih kerana memberikan layanan terbaik kepada pelanggan.

Khabar gembira tersebut dikongsikan menerusi akaun Facebook Perak Press yang turut memuat naik gambar majlis penyampaian sijil dan baucar hadiah diadakan dengan ringkas untuk meraikan Sunithaj.

“Memang contoh pekerja yang patut dijadikan inspirasi. Teruskan usaha, teruskan senyum! Semoga rezeki sentiasa murah dan urusan dipermudahkan,” tulis pemilik akaun Perak Press dalam perkongsian itu.

Terdahulu, seorang pelanggan dikenali sebagai Atika Latif berkongsi pengalaman menyenangkan ketika membuat pembayaran di sebuah pasar raya ekoran berurusan dengan seorang juruwang.

Walaupun pasar raya tersebut penuh dengan pengunjung kerana mahu menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100, juruwang itu tetap menunjukkan sikap ramah meskipun mungkin berada dalam keletihan.

“Aku kalau ke pasar raya Lotus di Setiawan, usaha cari dia (juruwang) nak bayar. Pelanggan ramai ke, sedikit ke, dia senyum sahaja. Memang dia tak buat muka yang tidak menyenangkan.

“Hari ini juga penuh orang tebus (SARA). Dia boleh siap senyum dan bersembang lagi. Bagus orang macam ini kerja. Kalau orang lain, jangan kata senyum. Pandang juga sinis. Maklumlah, tebus bantuan Madani.” Kongsinya.

Baca juga: Netizen terhibur fesyen luar negara sama macam kain pelikat