Tindakan segelintir individu yang sanggup menjual barangan pasangannya tanpa meminta izin jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.
Perbuatan ini bukan sahaja melanggar batas kepercayaan dalam hubungan, malah boleh menimbulkan rasa dikhianati kerana barang tersebut mungkin mempunyai nilai sentimental.
Tular satu kisah yang di laman Facebook 八卦部门 mengenai luahan lelaki yang terkejut kereta milik keluarganya dijual kekasih demi beg tangan jenama terkemuka.
Menurut portal WeirdKaya. lelaki dari Pulau Pinang mendedahkan teman wanitanya secara senyap-senyap menjual kereta lamanya, Perodua Myvi.
Lebih menyedihkan kenderaan itu diturunkan oleh ahli keluarga lain dan sudah bersama keluarganya lebih 10 tahun.
“Saya dan teman wanita saya kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang. Di rumah, ada sebuah kereta lama Perodua Myvi. Walaupun sudah lebih sepuluh tahun, ia adalah kenangan yang ditinggalkan oleh orang tua.
“Saya masih memandunya sekali-sekala dan biasanya menjaganya dengan baik. Bagi saya, kereta itu bukan sekadar kenderaan, tetapi juga sebuah memori.
“Namun, selepas saya pulang daripada perjalanan kerja beberapa hari, saya terkejut apabila bertanya kepada teman wanita saya tentang kereta itu.
“Dia dengan selamba menjawab, ‘Oh, saya dah jual. Awak masih ada Saga kan? Myvi lama itu pun sudah tak berguna.’
“Saya tergamam kerana kereta itu langsung bukan atas nama dia. Bagaimana dia boleh buat begitu?” kongsi hantaran tersebut.
Lebih mengejutkan lagi, teman wanitanya tidak menjual kereta itu secara sah melalui pengedar sebaliknya menggunakan kaedah ‘sambung bayar’.
Kaedah ini adalah menyerahkan kereta kepada orang lain untuk menyambung bayaran bulanan tanpa sebarang pemindahan hak milik rasmi.
Wanita itu mendakwa dia malu tidak memiliki beg berjenama ketika keluar bersama rakan-rakan baharunya yang semuanya menggunakan beg mewah.
Malah, wang hasil jualan kereta itu masih tidak mencukupi, menyebabkan dia meminta pasangannya menambah baki dengan alasan, ‘Kalau saya nampak buruk depan kawan-kawan, awak pun nampak buruk kan?’.
Akhirnya, wanita tersebut berjaya mendapatkan beg Chanel idamannya dan berbangga memuat naik gambar di media sosial dengan kapsyen “Work hard, be your own queen”, seolah-olah dibeli hasil usaha sendiri.
Lelaki itu pula hanya mampu memandu kereta lamanya sambil tertanya-tanya sejauh mana hubungan mereka boleh bertahan.
“Pada saat itu, saya rasa ragu sama ada hubungan ini tentang dua orang yang saling menyokong atau sebenarnya dia sedikit demi sedikit mengikis segala yang ada pada saya.
“Kereta pun boleh diam-diam dijual secara sambung bayar hanya untuk sebuah beg, saya tak dapat bayangkan apa pula yang akan dia jual selepas ini,” kongsinya.
Baca juga: Ramai salah anggap, 5 jenama yang selalu kita guna sebenarnya bukan produk Malaysia