Masih wujud segelintir netizen yang gemar mengkritik fizikal orang lain seolah-olah tubuh mereka sendiri begitu sempurna.
Sikap seperti ini bukan sahaja mencerminkan kurangnya empati, malah boleh menjatuhkan keyakinan diri mangsa yang menerima kritikan.
Buat pelakon yang namanya semakin naik, Qasrina Kasim mengakui terkesan dengan segala kecaman yang dilemparkan oleh netizen lapor Kosmo! Online.
Kecaman tersebut diterimanya semasa dia membawa watak Husniya Radwa dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.
“Memang ketika Thariq Ridzuwan: His Treasure disiarkan banyak komen negatif daripada netizen yang buatkan saya ‘down’ (tertekan). Mereka kutuk bukan pada lakonan tapi fizikal saya.
“Saya manusia biasa ada hati dan perasaan. Saya bukan robot. Mesti rasa sedih sebab saya berikan sepenuh hati untuk karakter wanita bernama Husniya Radwa.
“Apabila ada yang cakap saya dapat watak ini sebab fizikal saja iaitu rendah dan ada lesung pipit bukan sebab lakonan saya, tentu saya terkilan dan buat hati berbolak-balik.
“Lakonan adalah pekerjaan yang meminjam rasa, main dengan perasaan, jadi macam mana saya nak masuk set penggambaran dengan perasaan yang negatif,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelasnya, tekanan sudah mulai dirasai sejak awal penggambaran menyebabkan dia merasa sukar untuk menjiwai watak.
“Ketika tempoh awal drama bersiri ini disiarkan memang saya ada baca komen sebab nak perbaiki jika ada yang kurang untuk produksi seterusnya.
“Tapi selepas tengok bukan fasal kerja yang dikritik, saya terus elak kerana tekanan sebegitu mungkin antara punca saya tidak jumpa rentak Husniya Radwa pada episod terawal.
“Ini berlarutan sehingga pengarah suruh saya berhenti baca komen negatif sebab takut bagi kesan kepada saya dalam penggambaran yang masih berlangsung ketika itu.
“Kemudian banyak juga akaun yang saya sekat dan di TikTok pula saya kena tekan ‘uninterested’ agar tidak muncul di ‘wall’,” ujarnya.
Baca juga: Kak Ton dakwa ‘ditawaf’ 7 kali, dedah pengalaman disihir pengasas produk dan pekerja