Kenapa Kim Jong Un bawa tandas sendiri ke mana-mana?

Oleh KIM SYAZIE

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mencuri perhatian antarabangsa apabila dilaporkan membawa tandas mudah alih sendiri setiap kali melakukan lawatan rasmi ke luar negara.

Tindakan luar biasa itu menjadi perhatian ramai apabila ia dikaitkan dengan usaha menghalang cubaan risikan biometrik terhadap dirinya.

Ketika menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di Beijing minggu lalu bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping, Kim bukan sahaja membawa tandas peribadi, malah setiap kerusi dan meja yang digunakan turut dibersihkan sebaik beliau beredar.

Rakaman televisyen menunjukkan pembantunya pantas mengelap meja dan kerusi selepas sesi perbincangan selama dua jam dengan Putin.

Menurut penganalisis seperti dilapor AFP, langkah itu bukan sekadar protokol keselamatan, sebaliknya sebahagian strategi untuk mengelakkan bahan genetik seperti peluh, sel kulit atau sisa biologi lain jatuh ke tangan pihak asing.

Pakar politik Korea Utara dari Institut Sejong, Peter Ward berkata, maklumat biometrik pemimpin tertinggi dianggap rahsia keselamatan negara.

“Dari DNA dan biomarker, orang boleh mengetahui banyak perkara termasuk tahap kesihatan, tabiat peribadi, malah kelemahan yang mungkin dimanipulasi dalam rundingan,” katanya.

Langkah Kim itu turut disokong laporan media Jepun yang mendakwa beliau membawa tandas sendiri dalam kereta api kebal miliknya.

Kaedah sama pernah digunakan dalam pertemuan beliau dengan pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebelum ini.

Profesor sains forensik dari Universiti Sungkyunkwan, Lim Si-keun pula menjelaskan, identiti genetik boleh mendedahkan sama ada seseorang mempunyai penyakit kronik atau tabiat tertentu seperti pengambilan alkohol.

“Malah dengan perkembangan teknologi, kita tidak tahu sejauh mana ia boleh dimanfaatkan pada masa hadapan. Jadi adalah lebih selamat untuk menyembunyikan maklumat genetik,” ujarnya.

Putin turut dilaporkan menggunakan tandas mudah alih sendiri dan memastikan sisa biologi tidak ditinggalkan ketika lawatan rasmi.

Malah, penjarakkan empat meter antara beliau dan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa pandemik Covid-19 dikaitkan dengan keengganan Perancis menyerahkan sampel ujian Covid Putin.

Di Amerika Syarikat pula, Agensi Kaunter Risikan dan Keselamatan Nasional pernah memberi amaran mengenai risiko eksploitasi data kesihatan serta genetik oleh kuasa asing.

Baca juga: Richard Chin rupanya peluk Islam pada November lalu, 10 bulan sebelum sertai skuad kebangsaan