Lepasan SPM pilih jadi petani sepenuh masa, kini raih pendapatan cecah RM13,000 sebulan

Oleh KIM SYAZIE

Ketika ramai rakan seusia memilih untuk menyambung pengajian atau bekerja makan gaji selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Qayyum Zunkurnain, 24, memilih laluan berbeza untuk menjadi seorang petani sepenuh masa.

Siapa sangka tuah menyebelahinya. Anak muda dari Kuala Kangsar ini mengusahakan ladang betik dan pisang di atas tanah sewaan seluas 3.2 hektar.

Hasilnya dia kini memperoleh pendapatan mencecah RM13,000 sebulan setanding dengan gaji profesional.

“Saya mula berniaga kecil-kecilan menjual betik dan pisang selepas tamat SPM. Namun, saya dapati bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan. Dari situlah timbulnya idea untuk mengusahakan sendiri ladang buah-buahan bagi menampung keperluan pasaran,” katanya memetik perkongsian Jabatan Penerangan di Facebook.

Dengan bermodalkan pengalaman dan sedikit simpanan, Muhammaf Qayyum menanam 1,000 pokok betik dan pisang sebagai permulaan.

Kini, jumlah itu berkembang kepada 3,000 pokok betik dan 4,000 pokok pisang tanduk, suatu pencapaian luar biasa bagi usahawan muda sepertinya.

Baca juga: ‘Ukuran mestilah berasaskan tanggungjawab’ – Johari jawab isu gaji, elaun Ahli Parlimen