Kes kehilangan kad pengenalan atau MyKad yang telah mengakibatkan kerugian mencecah RM400 melibatkan bantuan MyKasih dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akhirnya terungkai dengan penangkapan dua individu.
Berita penangkapan individu berkenaan dikongsikan oleh isteri mangsa yang dikenali sebagai Norasyikin Tumingan menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada malam Jumaat bersama foto tangkapan.
Menurut Norasyikin, individu terbabit bertindak ‘menjual’ MyKad hilang milik suaminya kepada orang lain terlebih dahulu bagi menebus bantuan bernilai RM196.60 sebelum memanfaatkan lebihan wang untuk kegunaan sendiri.
Norasyikin sebelum ini berjaya mencuri perhatian selepas berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di akaun sama memaparkan individu tidak dikenali menggunakan MyKad suaminya untuk menebus bantuan kerajaan.
“Kes gunakan duit bantuan RM400 dalam MyKad selesai. Mohon kongsi. Dua penyamun ini ‘menjual’ MyKad suami saya kepada mak cik di dalam rakaman CCTV yang dekat pasar raya itu. Mak cik itu beli barang bernilai RM196.60.
“Kemudian pelaku meminta bayaran daripada mak cik itu hanya berjumlah RM100. Selepas itu, semua baki bantuan dua penyamun ini guna sendiri. Terima kasih Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Terdahulu, Norasyikin meminta pertolongan orang ramau untuk mengesan seorang lelaki dan wanita dipercayai pasangan suami isteri dengan memuat naik wajah mereka di dalam rakaman CCTV di sebuah pasar raya.
Hal ini berikutan individu terbabit didakwa menggunakan kad pengenalan hilang milik suaminya untuk berbelanja barangan keperluan di pasar raya itu dengan menebus wang bantuan dikreditkan ke dalam MyKad tersebut.
Kehilangan duit bantuan yang mereka kumpulkan selama beberapa bulan itu hanya mula disedari apabila MyKad suaminya hilang pada awal September sebelum tergerak hati menyemak baki menerusi laman sesawang MyKasih.
Alangkah terkejutnya Norasyikin dan suaminya selepas mendapati wang bantuan terkumpul yang sepatutnya berjumlah sekitar RM400 hanya berbaki RM1 lebih untuk SARA dan manakala bagi MyKasih pula tersisa RM11.
Difahamkan, mereka mengumpul baki bantuan sebanyak itu kerana berniat membeli barangan keperluan rumah di dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa namun tidak berjaya sebelum ini kerana sistem MyKasih tergendala.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun tidak menyangka wang bantuan mereka malah dimanfaatkan oleh individu lain melibatkan empat kali transaksi di tiga pasar raya berbeza pada 4, 6 dan 7 September.

Pasangan itu kemudian tampil di Balai Polis Jeram, Kuala Selangor pada 10 September lalu untuk membuat laporan bagi memastikan pelaku yang dipercayai berusia di dalam lingkungan 40-an terbabit ditangkap.
Baca juga: Guna bantuan SARA buat modal mulakan perniagaan kecil kecilan