Sebelum jadi ‘rakan serumah’, Fattah Amin suka gelar Amira Othman bakal isteri syurga – “Kata-kata itu satu doa”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Fattah Amin atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin selamat diijabkabulkan dengan penyanyi iaitu Amira Othman pada jam 9.07 malam Ahad dalam majlis akad nikah diadakan di sebuah hotel di Sepang, Selangor.

Mereka sah bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz selepas dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berwakil walikan bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.

Selepas acara pernikahan yang disiarkan secara langsung itu selesai, Fattah menerima soalan daripada pengacara majlis iaitu penyanyi, Sissy Iman mengenai perubahan panggilan istimewanya buat Amira setelah mereka berkahwin.

Fattah yang mulanya kelihatan tersipu malu itu kemudian mendedahkan bahawa panggilan istimewa untuk Amira sebelum mereka bergelar ‘rakan serumah’ adalah bakal isteri syurga dan menyifatkan gelaran tersebut sebagai satu doa.

“Sebelum ini, saya suka panggil dia dengan gelaran bakal isteri syurga. Kata-kata itu kan satu doa. Sekarang, panggil isteri syurga,” jelasnya kepada pengacara, Awal Ashaari yang mengendalikan majlis tersebut bersama Sissy Iman.

Pelakon berusia 35 tahun itu juga mengakui segan ketika diminta untuk menitipkan ucapan istimewa buat isteri sebelum memberitahu bahawa kata-kata indah tersebut biarlah diucapkan secara peribadi kepada Amira sahaja.

Sedutan majlis dinamakan sebagai Setulus Takdir: Fattah Amira yang bersiaran secara langsung menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 dan saluran Inspirasi secara percuma itu juga sempat dirakam oleh penonton sebelum dikongsikan di platform TikTok.

Terdahulu, Fattah dan Amira dikatakan mula berkenalan pada bulan Disember ketika hadir menyaksikan konsert Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan hubungan mereka mula menjadi perhatian ramai sejak akhir tahun lalu.

Mereka berdua kemudian sempat mencetuskan spekulasi ketika berkunjung ke London, United Kingdom (UK) pada Januari lalu sebelum Amira menjelaskan pemergian mereka ke London adalah untuk bekerja iaitu penggambaran muzik video.

Susulan hubungan mereka hangat diperkatakan, Fattah dan Amira lalu dilamar sebagai duta kempen raya jenama popular yang mana ‘rakan sekerja’ terbabit sering tampil berdua di pelbagai acara dengan mengenakan pakaian sedondon.

Pada bulan Februari, timbul pula desas-desus kononnya mereka berdua sudah bertunang namun dinafikan oleh keduanya yang mana Fattah menjelaskan hubungannya dengan Amira tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja.

Fattah sekali lagi menafikan dakwaan bakal melamar Amira sebagai isteri pada 25 Mei susulan timbul dakwaan pernikahan yang mana pelakon itu memaklumkan tiada tarikh perkahwinan ditetapkan dirinya mahupun Amira seperti diperkatakan peminat.

Pelakon itu akhirnya mengesahkan bahawa mereka akan disatukan dalam satu majlis pada Ahad iaitu hari kelahiran Fattah yang ke-35 dalam sidang media single duet baharu dendangan Amira dan adiknya, Irfan Haris iaitu Rasa & Takdir, Selasa lalu.

Baca juga: Bakal bergelar suami isteri malam ini, Amira Othman sempat beri kejutan buat Fattah Amin