Betapa hancurnya hati seorang isteri apabila suami yang disayangi tergamak mengkhianati perkahwinan dengan melakukan perbuatan keji bersama wanita lain di dalam rumah mereka sendiri.
Lebih mengeruhkan keadaan, kecurangan itu terbongkar ketika sang isteri sedang sarat mengandung lapan bulan yang mana zuriat sepatutnya menjadi bukti kasih sayang mereka malah menjadi saksi pengkhianatan suaminya.
Itulah kejadian sebenar dialami oleh seorang wanita yang didedahkan menerusi satu perkongsian tular dimuat naik di platform media sosial Threads tanpa mendedahkan identitinya sendiri termasuklah suami.
Difahamkan, perbuatan suaminya yang bekerja sebagai anggota unit beruniform itu terbongkar selepas tergerak hati membuka fail terpadam dalam telefon lelaki terbabit ketika melihat gambar dan video anak-anak mereka.
“Tiada siapa yang tanya, tetapi titik terendah aku sebagai seorang isteri ialah apabila ternampak video suami tengah berhubungan dengan perempuan lain sambil memegang telefon (merakam). Macam mana kantoi? Ceritanya aku ini kadang-kadang memang suka tengok fail kamera suami.
“Nak tengok gambar anak-anak kami yang diambil guna telefon dia. Tengah sengih-sengih tengok foto dan video mereka, tak tahu kenapa Tuhan gerakkan aku untuk buka fail item yang dipadam. Padahal selama ni aku tak pernah langsung buka sampai ke situ. Aku ternampak video dia.
“Samar-samar. Tetapi aku dapat kenal pasti bilik itu. Bilik dalam rumah kami sebab aku kenal kerusi merah jambu di bucu ruangan itu. Betul rumah kami yang aku, dia dan anak-anak duduk dari awal kahwin. Masa tengok video itu, aku rasa macam dua angin tengah berlaga,” kongsinya.
Kejadian berlaku ketika dirinya dan anak-anak berada di dalam kereta dipercayai di kawasan meletak kenderaan manakala suaminya pula tiada kerana sedang membeli minuman di sebuah kedai serbaneka.
Wanita itu juga mengakui bahawa dirinya tidak marah atau mengamuk sebaik mengetahui perbuatan suaminya sebaliknya hanya mampu menangis sehingga sesak dada di hadapan anak-anaknya yang masih kecil.
“Apabila masuk kereta, dia boleh teka video apa yang aku baru tengok. Bayangkan, anak-anak dekat tempat duduk belakang tengok ibu menangis sampai tekan-tekan dada. Suami aku masa itu memandu kereta. Dia boleh senyap sahaja. Mungkin masa itu dia sendiri sudah tahu.
“Kalau dia cakap apa-apa, aku akan jadi perempuan gila sekelip mata. Jadi dia biar aku menangis habis-habisan. Perangai dia pula kalau sudah bersalah, memang takkan bercakap untuk jelaskan atau pertahankan apa-apa. Aku juga tak ingat apa yang jadi selepas kami sampai rumah.
“Hanya ingat aku bawa anak-anak masuk bilik dan kunci. Bukan bilik yang suami tidur dengan wanita lain. Esoknya aku pergi kerja tetapi otak sedang kacau bilau. Sepanjang perjalanan ke pejabat aku menangis. Sampai ke pejabat menangis lagi, tetapi bukan depan oranglah,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu memaklumkan bahawa dirinya sudah nekad untuk berpisah dan berniat membawa anak-anak keluar dari rumah namun hasrat tersebut terbatal memikirkan dirinya sedang sarat hamil.
Ibu hamil itu akhirnya memutuskan untuk memberikan peluang kepada suaminya supaya berubah dan tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama namun sayangnya kesempatan tersebut langsung tidak dihargai.
“Selepas beberapa hari kejadian berlalu, aku suruh suami buang katil, tilam dan bantal dalam bilik itu. Aku jijik dan dia buang. Tetapi tetap tak mampu memulihkan keadaan. Berpisah juga bukanlah jalan terbaik ketika itu. Anak-anak kecil lagi dengan keadaan aku hampir nak bersalin lagi.
“Tetapi berubah yang dijanjikan hanya bertahan beberapa bulan. Habis pantang aku terbaca pula mesej dia dengan wanita lain, bersembang tentang kondom. Tetapi itu cerita dua tahun lalu. Anak di dalam perut yang menjadi saksi pengkhianatan dia nak masuk tiga tahun di tahun depan.
“Aku tengah tunggu tarikh 29 September nanti untuk dia lafazkan cerai. Aku sudah bersedia. Pernahlah cakap dekat dia, ‘Jika awak tak boleh berubah, biar saya yang berubah’. Dari tahun 2023 ke 2025, tak tahu berapa banyak air mata aku tumpah. Tetapi masa fail cerai, setitik air mata pun tak keluar.” Ujarnya.
Baca juga: Netizen ‘curious’ agak-agak TokTi dah guna ke belum RM100 dalam IC