Farah Lee dan Musa Nuwayri kongsi detik cemas, kapal Sumud Flotilla diserang dron lagi

Oleh WAN SITI AMINAH

Kapal dinaiki oleh sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk peserta daripada Malaysia dilaporkan didatangi dron sebelum beberapa siri letupan terdengar dalam pelayaran menuju zon kuning ke Gaza.

Perkembangan tersebut dikongsikan oleh salah seorang sukarelawan yang juga personaliti media sosial dikenali sebagai Farah Lee menerusi satu hantaran video berdurasi berdurasi satu minit dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Dalam rakaman tersebut, Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli memaklumkan kejadian berlaku sekitar bot Fair Lady dinaikinya menuju ke zon kuning sebelum dimaklumkan khabar mengenai serangan itu.

Beberapa letupan di udara dengan menggunakan dron itu dipercayai dilakukan tentera Isreal bertujuan untuk menakutkan sukarelawan namun turut menyebabkan kerosakan kepada beberapa buah bot dinaiki peserta.

Farah yang menaiki bot sama dengan Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein itu juga memberitahu bahawa semua peserta kini dalam keadaan berwaspada dan berjaga-jaga susulan letupan tersebut.

“Dalam jam 3 pagi, Farah tengah tidur (ketika) dikejutkan dengan berita serangan berlaku kepada beberapa buah bot difahamkan dalam empat ke lima bot yang diserang. Ada bot yang diserang melalui letupan udara.

“Sebabnya (serpihan letupan) yang jatuh ke bot hingga menyebabkan kenderaan itu mengalami kerosakan. Kami semua sudah berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan berpakaian jaket keselamatan, lampu di kepala dan kasut.

“Semua peserta disuruh tunggu dalam bot sebab serangan berlaku di luar dan kru semua tengah ‘alert’. Doakan kami dan insya-Allah kekal tenang, Farah dan semua dekat sini selamat,” katanya dalam rakaman itu.

@farahlee.fl

Serangan dan letupan udara sedang dilancarkan kepada kapal Global Sumud Flotilla. Semua dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mohon doakan kami semua! #globalsumudflotilla #sumudnusantara #farahlee #childrity

♬ original sound – Farah Lee – Farah Lee

Dalam pada itu, kejadian mencemaskan tersebut turut didedahkan oleh sukarelawan Malaysia lain yang juga merupakan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman di platform Facebook.

Musa juga turut memuat naik hantaran video berdurasi 22 saat di platform berkenaan memaparkan kejadian letupan yang dirakam daripada bot Alma yang dinaikinya susulan kedatangan 15 dron di sekitar kenderaan itu.

“Terkini! Mereka datang lagi. Kali ini dengan 15 buah dron di sekitar Alma. Setakat ini yang kami perasan, dron akan tutup lampu sebelum lepaskan letupan. Beberapa letupan juga dapat dilihat daripada kapal kami.

“Nampaknya seperti hanya untuk menakutkan konvoi. Tetapi kami tidak akan berpatah balik,” katanya yang turut mengatakan bahawa tiada kecederaan dilaporkan setakat ini namun meminta orang ramai terus mendoakan keselamatan mereka.

Sekadar info, terdapat seramai 15 rakyat Malaysia menjadi sukarelawan dengan menyertai pelayaran kapal ke Gaza untuk menghulurkan bantuan bermula pada 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Misi tersebut adalah sebahagian daripada program GSF melibatkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara untuk membuka sekatan Israel bagi menghulurkan bantuan bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Baca juga: Kereta Presiden Perancis ‘ditahan’ polis di New York, telefon Donald Trump pun tak lepas!