Tular video runtuhan projek baik pulih Jalan Pantai Baru Rakit, ketiadaan cerucuk besi dipersoal

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu rakaman tular memperlihatkan keadaan Jalan Pantai Batu Rakit di Kuala Nerus, Terengganu selepas berlakunya kejadian runtuhan tebing pada Rabu lalu telah mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, runtuhan berkenaan berlaku ketika kerja-kerja pembaikan hampir selesai sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai mengenai keselamatan pengguna jalan raya dan keberkesanan pelaksanaan projek tersebut.

Difahamkan, jalan itu pernah ditutup sebelum ini ekoran berlaku runtuhan dalam jarak sepanjang 280 meter pada bulan Januari lalu dipercayai diakibatkan oleh fenomena cuaca buruk semasa Musim Monsun Timur Laut.

Kerja-kerja pembaikan kemudian dimulakan pada April lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober ini melibatkan pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, tambakan pasir dan penstabilan struktur tanah.

Namun sayangnya kerja baik pulih yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM4.95 juta itu kembali runtuh di bahagian tebing sepanjang kira-kira 100 meter dipercayai berpunca daripada hakisan pantai yang berterusan.

Kesan runtuhan tebing itu berjaya dirakam menggunakan dron sebelum dimuat naik di platform media sosial TikTok dan mengundang perbincangan hangat dalam ruangan komen mengenai binaan benteng runtuh berkenaan.

Rata-rata pengguna mempersoalkan ketiadaan curucuk besi dalam tembok itu mahupun binaan tambahan untuk menyokong ketahanan benteng daripada runtuh semula ekoran lokasi geografi yang sering dihentam ombak.

@amienyahaya21

KUALA NERUS: Jalan Pantai Batu Rakit di Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot berhampiran Kampung Tanjung yang baharu dibaiki; runtuh semula akibat hakisan pantai, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk setempat. Runtuhan dilaporkan berlaku malam tadi membabitkan kira-kira 100 meter laluan itu dan proses hakisan dikatakan masih berlaku.#terengganu

♬ Bintang – Budak Kaca Mata

“Tengok macam buat tembok sahaja. Projek mahal tetapi tiada cerucuk untuk kukuhkan struktur tanah iaitu akar punca jalan runtuh. Mohon siasat projek ini. Saya bekerja sebagai Quantity Surveyor. Setakat konkrit tebing, tidak memadai dengan kos projek,” kongsi seorang pengguna.

“Macam simen semata-mata. Mana mahunya. Kenalah tanam (cerucuk) besi. Kalau nak jimat pun, agak-agaklah. Kena tanam besi dekat tanah dahulu. Barulah ditambak dengan batu. Jadi tanah tidaklah jatuh (runtuh).” Kesal pengguna lain.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu difahamkan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu termasuklah mengenal pasti punca runtuhan meskipun kerja pembinaan dilaporkan hampir 99 peratus siap.

JKR Terengganu juga sudah mengarahkan kontraktor yang dilantik untuk segera menjalankan kerja membaik pulih ditanggung oleh pelaksana projek tanpa melibatkan sebarang kos tambahan daripada kerajaan negeri.

Baca juga: Berani dan berdisiplin! Tengku Hassanal jayakan terjunan bebas 10,000 kaki