Hasrat kekasih nak bermalam bersama terbantut, ‘homestay’ diserbu JAINJ

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin ramai individu memilih untuk menginap di homestay berbanding hotel atas pelbagai sebab, antaranya untuk mengelak daripada perhatian umum atau pemeriksaan pihak berkuasa.

Bagi pasangan yang menjalinkan hubungan secara rahsia atau tidak sah, homestay atau inap desa dilihat sebagai pilihan yang lebih ‘selamat’ kerana ia kurang dikawal dan tidak memerlukan prosedur pendaftaran yang ketat seperti di hotel.

Hasrat sepasang kekasih untuk bermalam di sebuah inap desa terbantut apabila pegawai dan anggota Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu premis itu

Menurut Berita Harian, kedua pasangan yang berusia 20-an itu ditahan ketika berdua-duaan pada jam 10.15 malam.

JAINJ memaklumkan, sebaik tiba dilokasi tersebut, penguat kuasa mengetuk pintu kediaman itu sebelum dibuka oleh seorang lelaki lima minit kemudian.

“Lelaki itu memakai seluar panjang dan kemeja T. Pemeriksaan dalam inap desa terbabit menemukan seorang wanita dipercayai kekasihnya.

“Ketika melihat kehadiran penguat kuasa JAINJ, pasangan itu seolah-olah kebingungan,” katanya dalam kenyataan.

Kongsi JAINJ, lelaki itu bekerja swasta dan wanita tersebut adalah jurujual serta masing-masing menetap di daerah ini bersama ibu bapa mereka.

Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Ketika ini, kebanyakan mereka beralih menyewa inap desa selepas penguat kuasa kerap membuat serbuan di hotel,” katanya.

Baca juga: Pegawai Pemelihara Hutan didakwa terima rasuah lesen balak lebih RM640,000!