Baru-baru ini tular rakaman mengejutkan memaparkan personaliti media sosial yang menggelarkan dirinya Datin Suzie Pinky berada keadaan cedera dengan kesan darah di bahagian sekitar telinga.
Dalam video tular tersebut, Suzie atau nama sebenarnya Rozieana @ Naiemah Yaakub mendakwa dicederakan selepas anak lelakinya yang dikenali sebagai Abi Celow dikatakan mengamuk sebelum bertindak memukulnya.
Wanita berusia 62 tahun itu juga terdengar menangis menahan kesakitan dalam video berdurasi dua minit 26 saat tersebut sebelum seorang lelaki dipercayai menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan.
“Tengok darah tengah keluar, tadi memancut. Sampai ke dalam baju ada kesan darah, tak berhenti lagi. Abi (anak lelaki Suzie) mengamuk, dia pukul saya. Dia baling cawan,” kata personaliti dikenali ramai dengan keletahnya bertutur secara pelat dan berpakaian serba merah jambu.
Sebelum ini tular perkongsian dari pengguna platform Threads dikatakan penduduk yang tinggal di kawasan perumahan Suzie mendakwa bahawa warga emas itu mengalami kecederaan akibat ditetak oleh anak sendiri.
Pihak polis juga dikatakan terpaksa masuk ke rumah yang terletak di kawasan Ampang itu secara paksa ekoran anak lelaki Suzie enggan memberi kerjasama sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.
“Info semua! Rumah Suzie Pinky dan Abiy Celow ada kes tetak dekat kawasan ampang. Pihak polis tengah panggil anak dia keluar rumah. Tatin (Datin) kena tetak di telinga dengan anak dia. Berdarah penuh.
“Mereka cakap anaknya itu ada masalah mental sedikit. Sekarang polis sudah pecah masuk dan angkut anak dia ke balai. Tatin Pinky pergi hospital. Selamat malam. Esok kita tengok Tatin buat siaran langsung ya,” ujarnya dalam perkongsian itu.
Kecederaan yang dialami oleh Suzie dikatakan tidaklah begitu serius namun warga emas terbabit menerima sekurang-kurangnya lima jahitan ketika dirawat di sebuah hospital yang tidak didedahkan lokasinya itu.

Baca juga: