Seorang pengguna media sosial menasihatkan orang ramai supaya membiasakan diri menghantar emel kepada kedutaan Malaysia sebelum melancong ke mana-mana negara luar, sebagai langkah keselamatan penting.
Pengguna Threads bernama Nadia itu berkata, dia sudah lama mempraktikkan langkah tersebut dengan cara menghantar emel kepada kedutaan Malaysia di negara yang ingin dilawatinya.
Menurutnya, pemberitahuan awal kepada kedutaan termasuk maklumat mengenai destinasi, tempoh perjalanan dan nombor telefon untuk dihubungi mampu membantu pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan atau insiden tidak diingini di negara yang dikunjungi.
Seperti dijangka, cadangan itu mendapat perhatian pengguna media sosial lain, yang mengakui mereka turut mengamalkan perkara tersebut ketika berada di luar negara.
Menurut info ramai, kedutaan kebiasaanya akan memberi maklum balas dengan cepat, sekali gus meyakinkan mereka bahawa maklumat keberadaan mereka di negara tersebut telah direkodkan.
Beberapa pengguna berkongsi pengalaman mereka sendiri menghantar makluman kepada kedutaan walaupun melancong ke negara yang dekat seperti Thailand, kerana merasakan ia satu langkah berjaga-jaga.
Seorang individu turut menceritakan pengalamannya ketika berada di Itali pada awal penularan Covid-19.
Katanya, pihak Kedutaan Malaysia di Itali sendiri menghubunginya untuk menasihatkan agar segera pulang ke Malaysia kerana kerajaan Itali dijangka akan menutup lapangan terbang dan melaksanakan sekatan perjalanan dalam masa terdekat.
Perkongsian ini ternyata membuka mata ramai tentang pentingnya peranan duta yang sudah dilantik di setiap negara. Bahkan ia membantu pihak berkuasa menghubungi rakyat lebih awal sekiranya berlaku kecemasan.
Baca juga: Suami menangis teringat bekas kekasih sampai ada niat nak ‘getback’, wanita hilang kata-kata