Usahawan sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih mesra dikenali sebagai Nur Sajat kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar ketika dirinya masih kecil.
Menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Nur Sajat mengakui bahawa gambar itu menjadi salah satu bukti bahawa ‘jiwa perempuan’ sememangnya berada dalam dirinya sebelum mengenal erti dunia.
Sajat menjelaskan bahawa gambar yang memperlihatkan dirinya berpakaian seperti kanak-kanak perempuan itu bukanlah diambil oleh ibu bapanya selain turut mengakui dibesarkan di bawah jagaan adik-beradik.
Difahamkan, situasi sedemikian membuatkan usahawan kosmetik yang turut bergelar personaliti media sosial itu terpaksa menempuh cabaran kehidupan seorang diri dan banyak memendam perasaan sejak kecil.
“Kadang-kadang apabila saya tengok gambar ini semula, hati rasa jadi berat. Kerana ini bukanlah sekadar gambar kanak-kanak. Ini adalah bukti bahawa sejak dari kecil, saya sudah menjadi diri sendiri. Lembut, halus dan penuh jiwa perempuan.
“Walaupun saya sendiri belum faham apa maknanya pada waktu itu. Yang ambil gambar ini, bukan mak ayah saya. Dari kecil, saya banyak membesar di bawah tangan adik-beradik. Banyak benda saya lalui sendiri. Banyak rasa saya simpan sendiri.
“Kadang-kadang, saya bertanya dalam hati. Apa salah saya dilahirkan dengan jiwa macam ini? Gambar ini buat saya sedar satu hal. Saya sudah menjadi ‘Sajat’ lama sebelum dunia kenal nama itu. Saya sudah menjadi diri ini sebelum tahu apa itu dunia,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Nur Sajat memaklumkan bahawa dirinya kian menjauh daripada keluarga apabila semakin bertambah usia bukan kerana tidak menyayangi namun memerlukan ruang untuk bernafas.
Usahawan terbabit bagaimanapun baru mengenal erti kesunyian apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga sehingga dirundung kerinduan kerana tidak dapat terus menjalani hidup bersama insan tersayang di sisi.
“Saya hanya seorang budak kecil yang ingin disayangi, dihargai dan dilindungi. Kadang-kadang saya rindu nak merasa pelukan keluarga sendiri. Rindu suara yang panggil saya balik rumah. Rindu perasaan ada tempat untuk pulang.
“Tuhan ambil keluarga saya. Tetapi Tuhan juga beri saya kekuatan. Kekuatan untuk berdiri dan bangkit sendiri dan jadi wanita yang saya impikan sejak kecil. Sampai hari ini, saya masih budak kecil dalam gambar itu. Cuma bezanya sekarang, saya belajar sayang diri sendiri.” Ujarnya.
Terdahulu, Sajat dilaporkan menetap di Australia sejak tahun 2021 selepas usahawan terbabit menjadi buruan pihak berkuasa agama Malaysia atas beberapa kesalahan syariah.
Sajat sebelum ini didakwa oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas dua pertuduhan termasuk berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang dianggap tidak sopan di akaun Instagram miliknya.
Baca juga: Lepas lima kali bertukar, Elfira Loy dedah punca tak mahu pembantu rumah