Pada zaman sekarang, mencari pekerjaan bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Namun, demi kelangsungan hidup dan tanggungjawab menampung keperluan keluarga, kehidupan tetap perlu diteruskan walau sarat dengan cabaran dan pengorbanan.
Itulah yang dilakukan seorang pemuda Muhammad Shahrul Iman Asarizan yang gigih mencari rezeki meskipun diuji dengan ketumbuhan cyst pada kaki kiri lapor Harian Metro.
“Kalau ada kerja meracun rumput, bersih kawasan, kutip besi buruk, tin atau plastik walaupun jam 11 malam, saya sanggup datang asalkan di sekitar kawasan ini (Batu Gajah).
“Nak bagi RM5 atau barang dapur pun saya terima kerana sangat memerlukan wang,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Isterinya Umirah Rasidah Maulad Adenan berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tiga anak yang masih kecil menyebabkan dirinya berusaha mencari rezeki selepas berhenti kerja sebagai operator di sebuah kilang..
“Memang berat tapi terpaksa berhenti kerana keadaan diri saya tapi hidup perlu diteruskan.
“Jadi saya ikhtiar cari rezeki dengan ambil upah potong rumput dan cuci rumah. Saya cuba cari pelanggan dengan buat hebahan di media sosial.
“Cabaran sebelum ini, kereta kerap rosak jadi ada waktunya kena pergi kerja dengan berjalan kaki,” tambahnya.
Sedar akan pendapatan yang tidak menentu, Muhammad Shahrul Iman juga mencari barang seperti plastik dan besi buruk untuk dijual.
“Saya buat semua untuk keluarga dan selalunya dapat upah antara RM50 hingga RM60 untuk setiap tugasan tapi bergantung juga keluasan kawasan.
“Ada juga yang tak bagi duit tapi beri beras dan susu. Pernah juga tak ada kerja langsung selama seminggu sampai saya ke masjid dan minta tolong cuci tandas kerana nak upah.
“Saya perlukan duit kerana nak beli makanan, susu dan lampin pakai buang untuk anak. Sewa rumah RM500 sebulan tapi mujurlah ditanggung Baitulmal,” katanya.
Jelasnya dia bersyukur dikurniakan isteri dan anak yang memahami dan berharap ada peluang pekerjaan untuk menampung keluarganya.
Baca juga: Ini punca Ernie Zakrie pakai tudung sarung, sandal ambil trofi Bintang Paling Popular