Kegembiraan sepasang suami isteri terhadap kereta terpakai baharu yang dibeli bertukar tragedi apabila kenderaan itu terbakar sebelum sempat mereka sampai ke rumah.
Insiden berlaku sekitar pukul 7.30 malam pada 11 Disember di Jambatan Kanchanaphisek, Samut Prakan lapor portal Thaiger.
Polis dari Balai Polis Phra Pradaeng menerima laporan kebakaran tersebut dan mengkoordinasikan usaha kecemasan.
Setibanya pihak berkuasa, kereta didapati hangus sepenuhnya, pasukan bomba dan penyelamat lebuh raya berjaya memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira 10 minit.
Sekitar 50 meter dari kereta yang terbakar, pemilik kereta, Wicharn bersama isterinya ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan.
Pasangan ini dilaporkan telah pergi ke Suphan Buri pada hari yang sama untuk membeli sebuah Toyota Avanza terpakai berwarna gangsa pada harga 75,000 baht (lebih kurang RM9,727)
Kebakaran tersebut dikatakan berlaku semasa perjalanan pulang ke rumah mereka di Phraek Sa, Daerah Mueang, Samut Prakan.
Menurut Wicharn, dia berkongsi bahawa pada permulaan pemanduan tiada apa yang berlaku namun asap mula keluar dari ruang enjin ketika mereka berada di tengah-tengah Jambatan Kanchanaphisek, diikuti dengan api.
Tidak menunggu lama dia segera memberhentikan kereta dan dia serta isteri berjaya keluar dengan selamat.
Laporan Khaosod menyebut beberapa pemandu yang lalu berhenti dan cuba membantu menggunakan alat pemadam api, namun angin kencang menyebabkan api semakin marak.
Hanya selepas lori bomba tiba, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan tiada kecederaan dilaporkan
Pihak berkuasa berjaya mengalih kenderaan yang terbakar serta mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kebakaran.
Baca juga: Ahmad Maslan dedah gambar kahwin, kongsi rahsia kekal bahagia selama 38 tahun dengan isteri