Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi gambar sempena ulang tahun perkahwinan bersama isteri tercinta, Datin Seri Noraini Sulaiman.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa beliau dan isteri sebenarnya diijabkabulkan di Kuching, Sarawak pada 12 Disember 1987.
Ahli Parlimen Pontian itu turut mengambil kesempatan untuk berkongsi rahsia bagaimanapun perkahwinan yang dibina bersama isterinya masih kekal bahagia selepas 38 tahun melayari bahtera bersama.
Jelas ahli politik itu, perkara yang paling penting adalah melakukan perbincangan bersama apabila membuat sebarang keputusan terutamanya berhubung masalah yang melibatkan keluarga.
Pasangan suami isteri juga disarankan untuk bertindak segera dalam menyelesaikan sebarang bentuk salah faham dengan baik dan seelok-eloknya mengelak daripada berlakunya pergaduhan dalam rumah tangga.
Ahmad Maslan juga setia berusaha sehabis baik untuk menjaga keluarganya sehingga kini meskipun sudah dikurniakan dengan kehadiran empat cahaya mata, tiga menantu dan lima orang cucu.
Wakil rakyat itu tidak lupa untuk kekal bersederhana dalam segala hal dan menjaga solat serta adab sehingga berjaya mengekalkan kebahagiaan selepas lebih dua dekad mendirikan rumah tangga.
Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati ruangan komen perkongsian tersebut dibanjiri dengan ucapan tahniah sempena ulang tahun perkahwinan disambut Ahmad Maslan dan isterinya.
Mereka juga menyifatkan perkahwinan Ahmad Maslan dan isteri sebagai kisah cinta yang tidak lapuk dek zaman selain mengirimkan doa agar rumah tangga mereka kekal bahagia sehingga ke syurga.
“Tahniah Datuk Seri. Semoga kekal bahagia hingga akhir hayat dan ke Jannah. Saya kenal dengan Datin Seri. Baik budi orangnya,” kongsi seorang pengguna Facebook di ruangan komen hantaran itu.
“Inilah kisah cinta yang tidak lapuk dek zaman. Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan buat YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan Datin Seri Noraini. Bukan sekadar tahniah, tetapi doa yang tulus kami panjatkan.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Berbekalkan RM5, boleh makan tiga kali sehari walau duduk di Kuala Lumpur