Elyana masih berjuang lawan kanser, ramai sebak tengok video anak cukurkan rambut

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu rakaman dikongsikan penyanyi, Elyana memaparkan rambutnya dicukur hingga botak dengan bantuan anak-anak telah mengundang perasaan sebak ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, rambut Elyana itu bukan sengaja dicukur sebaliknya terpaksa dilakukan apabila simbol mahkota wanita tersebut mula gugur selepas penyanyi berkenaan menjalani rawatan kemoterapi.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik di platform Instagram itu, keputusan mencukur rambut dipercayai diambil oleh pelakon berusia 38 tahun terbabit pada hari ke-29 rawatan berkenaan dijalankan.

Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal tampak mengesat air matanya selepas memperlihatkan keadaan lantai tandasnya di mana rambutnya sudah gugur dalam kuantiti cukup banyak.

Anak-anak Elyana iaitu Cinta Sumayyah, 15, dan Cahaya Ramadhani, 6, kemudian turut tampil di dalam video yang menyayat hati tersebut sebelum bertindak bergilir-gilir mencukur rambut ibu mereka.

“MasyaAllah, perjuanganku demi anak-anak. Nak sembuh kerana saya memiliki anak yang tidak sepatutnya melihat ibu mereka dalam keadaan terluka. InsyaAllah, semoga video ini bermanfaat untuk mereka yang memerlukan semangat,” katanya di ruangan kapsyen.

Elyana sebelum ini pernah berkongsikan khabar gembira pada sekitar dua tahun lalu apabila akhirnya disahkan bebas daripada kanser limfoma selepas hampir 11 tahun berjuang melawan penyakit tersebut.

Terdahululu, penyanyi lagu Kalis Rindu itu mendedahkan bahawa dirinya adalah penghidap barah limfoma tahap empat selepas tersingkir dari program realiti nyanyian iaitu Gegar Vaganza (GV) pada tahun 2017.

Sekadar info, Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan iaitu Khairul Anuar Husin pada tahun 2010 sebelum dikurniakan kehadiran seorang cahaya mata perempuan, Cinta Sumayyah.

Pasangan suami isteri itu difahamkan turut mempunyai dua anak angkat iaitu Cahaya Ramadhani dan seorang kanak-kanak istimewa dinamakan sebagai Tulus yang sudah mula diasuh ketika masih bayi.

Baca juga: Gara-gara duit belanja hanya RM1 sehari, wanita kongsi kisah anak malu ke sekolah