Penyanyi, Nubhan menafikan dakwaan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek bahawa pembantu rumah atau bibiknya telah mencium bibir anak lelaki mereka ketika melawat kanak-kanak itu di hospital, baru-baru ini.
Nubhan yang juga peserta program nyanyian, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) itu menegaskan bahawa tiada sebarang aksi cium mulut berlaku kerana ada ramai orang di lokasi kejadian ketika insiden didakwa berlaku.
Pemilik nama sebenar Ahmad Nubhan Ahamad itu juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya bekas isteri mahu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa, lapor Kosmo.
Difahamkan, kejadian didakwa berlaku ketika penyanyi terbabit membawa pembantu rumah melawat anaknya yang dirawat di sebuah hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru pada minggu lalu.
“Saya membawa bibik untuk melawat anak yang sakit di hospital. Di situ ada ramai orang yang menyaksikan. Jadi saya menafikan perbuatan cium mulut itu berlaku. Kalau nak bawa perkara ini ke tengah, dia boleh buat laporan polis.
“Saya bersedia untuk memberi kerjasama yang penuh,” kata penyanyi berusia 39 tahun terbabit tentang dakwaan bekas isterinya itu dalam sesi sidang media konsert GV12 minggu ketujuh memetik laporan Kosmo.
Pelantun lagu Aku Atau Dia itu mengakui tidak menjadi beban buatnya sekiranya perlu turun naik mahkamah jika tindakan tersebut merupakan saluran yang terbaik untuk menyelesaikan segala masalah mereka.
Hal ini kerana Nubhan yang turut bergelar usahawan itu tidak mahu masalah berlarutan hingga membuka ruang untuk orang ramai ‘berkata-kata’ sebaliknya lebih memilih mencari penyelesaian menggunakan saluran tepat.
“Insya-Allah tiada masalah untuk saya. Saya akan beri kerjasama. Daripada berlarutan sehingga menjadi asbab untuk orang berkata-kata, biarlah kita guna saluran yang betul.” Jelasnya lagi.
Terdahulu, Dr Afifah menerusi hantaran di media sosial mendakwa pembantu rumah Nubhan mencium anak mereka, Ahmad Affan di bibir tanpa memakai pelitup muka sewaktu melawat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
Dr Afifah mendakwa bekas suaminya itu tidak membuat sebarang permohonan maaf sebaliknya hanya tersenyum ketika perbuatan tidak sopan yang didakwa dilakukan oleh pembantu rumahnya ditegur.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads itu, Dr Afifah yang juga bergelar ibu kepada tiga cahaya mata terbabit turut menggelarkan Nubhan sebagai ‘gila’ kerana membiarkan perbuatan tersebut.
Sekadar info, Nubhan dan Dr Afifah yang juga doktor gigi itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 sebelum sah bercerai talak dua pada 2 Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Baca juga: Selepas Erra Fazira, warga maya imbas kembali momen ‘Wedding of The Year’ Siti Nurhaliza